Celcom dan Digi sah bakal bergabung jadi telco terbesar Malaysia | DagangNews Skip to main content

Celcom dan Digi sah bakal bergabung jadi telco terbesar Malaysia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 April - Dua pesaing besar dalam industri telekomunikasi, Celcom Axiata Berhad dan Digi.com Berhad disahkan bakal bergabung untuk membentuk sebuah syarikat telekomunikasi (telco) yang menerajui industri itu.

 

Syarikat induk Celcom, Axiata Group Berhad dan Digi, Telenor Asia (Telenor) sedang dalam perbincangan lanjut berhubung penggabungan itu, dan masing-masing dijangka memegang 33.1% kepentingan dalam telco baharu itu yang bakal dikenali sebagai Celcom Digi Berhad.

 

“MergeCo (Celcom Digi Berhad) akan menjadi penyedia perkhidmatan telekomunikasi terbesar di Malaysia dari segi nilai, hasil dan keuntungan, dengan proforma hasil kira-kira RM12.4 bilion, pra sinergi pendapatan sebelum faedah, pajak, susut nilai, dan pelunasan (EBITDA) penggabungan entiti itu kira-kira RM5.7 bilion dengan sekitar 19 juta pelanggan.

 

“Sebagai sebahagian daripada transaksi penggabungan itu, Axiata akan menerima saham terbitan baharu dalam Digi, 33.1% selepas transaksi pemegangan dan tunai kira-kira RM2 bilion, di mana RM1.7 bilion diberikan oleh Digi dalam bentuk hutang baharu dan selebihnya dari Telenor,” jelas Axiata dalam maklumannya di Bursa Malaysia.

 

Kata Axiata, dengan kepentingan nasional yang kukuh, kumpulan itu dan pihak berkepentingan institusi Malaysia utama akan memiliki 51% ekuiti dalam penggabungan entiti itu. 

 

Ini bermakna, Axiata mempunyai hak untuk menamakan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Digi Berhad dan bersama-sama Telenor, mereka telah bersetuju untuk melantik individu dengan jawatan berikut:

 

1) Pengerusi – Datuk Izzaddin Idris

2) Naib Pengerusi – Jørgen C. Arentz Rostrup

3) Ketua Pegawai Eksekutif – Idham Nawawi

4) Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif – Albern Murty

 

Jelas Axiata, penggabungan Celcom dan Digi berada dalam kedudukan lebih baik untuk memacu peralihan negara untuk membentuk masyarakat digital berpendapatan tinggi.

 

“Pelanggan pula akan menerima manfaat signifikan daripada penggabungan itu, memandangkan entiti baharu akan mempunyai kapasiti untuk melabur lebih banyak dalam menyediakan kualiti perkhidmatan lebih baik pada kadar berdaya saing. 

 

“Pelanggan juga dapat mengekalkan pilihan jenama pengendali mudah alih mereka, memandangkan kedua-dua jenama Cecom dan Digi akan diteruskan seperti biasa selepas bergabung,” tambah Axiata.

 

Digi dalam makluman berbeza mengesahkan lembaga pengarahnya telah dimaklumkan berhubung langkah penggabungan itu dan Telenor serta Axiata akan berusaha ke arah memuktamadkan perjanjian berhubung cadangan transaksi dalam suku kedua 2021 (2Q21).

 

Baca : Gantung dagangan hari ini, Digi-Axiata bergabung?

 

“Transaksi itu akan tertakluk kepada persetujuan oleh pemegang kepentingan Celcom dan Digi, penerimaan kelulusan peraturan dan terma dan syarat lain.

 

“Kedua-dua pihak (Axiata dan Telenor) mengakui bahawa tidak ada kepastian bahawa perbincangan ini akan menghasilkan persetujuan,” kata Digi. - DagangNews.com