KUCHING 26 Feb – Usahawan di Sarawak digesa mendaftarkan harta intelek kepada perniagaan sama ada produk dan perkhidmatan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Pengurus Besar CENTEXS Commercial, Shahren Yusri berkata, pihaknya menjalin kerjasama dengan MyIPO bagi mencapai hasrat tersebut.
Bukan itu sahaja kata beliau, melalui kerjasama strategik ini, komuniti usahawan Sarawak diberi latihan dan pendedahan tentang kepentingan pendaftaran harta intelek secara percuma.
Menurut, CENTEXS Commercial menyambut baik usaha MyIPO yang ingin memberi kesedaran dan kepentingan perlindungan harta intelek serta inovasi produk usahawan tempatan.
“Usaha ini selari dengan inisiatif CENTEXS Commercial yang ingin memastikan setiap usahawan yang mempunyai produk sendiri mendaftarkan harta intelek mereka.
‘“Ini kerana kalau mereka tidak berbuat demikian, jenama produk mereka akan terdedah dengan risiko diciplak oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan lebih malang jika pihak berkenaan mendaftarkan jenama produk tersebut atas nama pihak tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerja MyIPO diketuai Ketua Pengarah MyIPO Abdul Haris Lakar ke Galeri Songket Keringkam Sarawak pada 25 Februari 2021.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datu Dr. Rashidah Bolhassan dan anggota Perbadanan MyIPO, Datuk Kamarlin Ombi.
Setakat Februari 2022, seramai 690 usahawan telah berdaftar dengan CENTEXS Commercial di bawah kategori perkhidmatan SARA-X, makanan dan kraf dan Songket serta Keringkam masing-masing berjumlah 250, 108 dan 255.
Sementara itu, Abdul Haris berkata, sebanyak 747 harta intelek usahawan Sarawak telah dapat didaftarkan dengan MyIPO tahun lepas.
Daripada jumlah ini, 430 adalah untuk cap dagangan, 276 untuk hak cipta, 24 paten dan 17 reka bentuk perindustrian, yang sekali gus menjadikan Sarawak antara negeri paling banyak bilangan harta intelek yang berdaftar dengan MyIPO.
“Kita menjangkakan pendaftaran harta intelek dari usahawan Sarawak akan meningkat tahun ini selaras dengan fasa pemulihan COVID-19," katanya.
Menurutnya, harta-harta intelek yang didaftarkan ini adalah di antara 42,000 yang didaftarkan oleh MyIPO seluruh negara.
Sementara itu beliau berkata MyIPO turut menyediakan Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 berjumlah RM4 juta untuk tempoh 2021 hingga 2025 bagi membantu usahawan membuat pembayaran untuk mendaftarkan harta intelek mereka. – DagangNews.com