CEO letak jawatan berkuat kuasa 29 Julai, Awantec bentuk jawatankuasa pemantau  | DagangNews Skip to main content

CEO letak jawatan berkuat kuasa 29 Julai, Awantec bentuk jawatankuasa pemantau 

Rezal Rahman meninggalkan Awantec selepas berkhidmat selama enam bulan sebagai CEO.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Lembaga Pengarah AwanBiru Technology Bhd. (Awantec) menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Lembaga (BOC) yang diketuai S.Ramanathan dan disokong Dr. Abu Hasan Ismail berikutan peletakan jawatan Razal Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa 29 Julai lalu. 

 

Pembentukan BOC itu yang berkuat kuasa hari ini, akan bertanggungjawab untuk memantau dan menyediakan panduan kepada pasukan pengurusan kumpulan sementara menunggu pelantikan CEO baharu. 

 

Rezal akan meninggalkan Awantec selepas berkhidmat selama enam bulan sebagai CEO untuk mengejar peluang dalam bidang keusahawanan.

 

 

Syed Naqiz Shahabuddin
Syed Naqiz Shahabuddin

 

 

Dalam kenyataan, Pengerusi Awantec, Syed Naqiz Shahabuddin berkata, lembaga pengarah telah membuat keputusan untuk membentuk jawatankuasa tersebut bagi menyokong pengurusan memandangkan mereka memberi tumpuan untuk mengekalkan dan membina trajektori pertumbuhan Awantec sejak ia memulakan perjalanan transformasinya beberapa tahun lalu.

 

"Kami mempunyai pasukan pengurusan yang berkebolehan yang telah menjadi penggerak di sebalik kejayaan syarikat.

 

"Kami percaya bahawa Encik Ramanathan bersama Abu Hasan memiliki adalah berkelayakan dan membawa pengalaman penting untuk memantau perkara-perkara bagi pihak lembaga pengarah dan untuk bertindak demi kepentingan semua pihak berkepentingan," katanya.

 

Ramanathan, yang merupakan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, telah menjadi pengarah di Awantec sejak 2014 dan ketika ini mempengerusikan Jawatankuasa Pengurusan Risiko Awantec.

 

Sebelum ini, beliau adalah penasihat kepada Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata, dan Pengarah Urusan IBM Malaysia Sdn. Bhd.

 

Sementara itu, Abu Hasan adalah pengasas Awantec, diiktiraf sebagai salah satu penyedia utama penyumberan luar bagi latihan dan perkhidmatan ICT di negara ini.

 

Buat masa ini, beliau merupakan mentor pengasas Awantec, dan kekal sebagai pemegang saham tunggal terbesar kumpulan dan ahli lembaga pengarah bukan eksekutif. - DagangNews.com