CEO Grab pegang 60.4% kuasa mengundi dalam entiti gabungan | DagangNews Skip to main content

CEO Grab pegang 60.4% kuasa mengundi dalam entiti gabungan

Gambar www.grab.com

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 April - Ketua Pegawai Esekutif dan Pengasas Bersama Grab Holdings Inc., Anthony Tan bakal ‘memegang’ 60.4% kuasa mengundi dalam entiti gabungan syarikat e-hailing itu dengan Altimeter Growth Corp.

 

Ini selepas Tan memiliki 122.9 juta saham biasa Kelas B, mewakili 2.2% kepentingan dalam entiti tersebut, menurut laporan TheEdge Singapore. 

 

Untuk rekod, setiap saham Kelas B tertakluk kepada 45 undian, sementara sesaham Kelas A pula diberikan satu undian. 

 

Di bawah Kelas A, antara pemegang kepentingan dalam Grab termasuk SoftBank Vision Fund dengan 18.6% kepentingan, selain itu Uber (14.3%), Didi Chuxing (7.5%) dan Toyota (2.4%).

 

Dalam pada itu, Tan memegang kepentingan berkenaan di bawah namanya, dan 25.6 juta saham lagi di bawah nama pengasas bersama, Tan Hooi Ling serta 14.4 juta saham di bawah nama Presiden Grab, Ming-Hokng Maa. 

 

grab
Anthony Tan

 

Menurut laporan sama, saham-saham tersebut dimiliki oleh Tan di bawah perjanjian pemegang saham.

 

Baca : Grab bakal disenarai awam di AS

 

Sebelum penggabungan, Tan memegang 2.6% kepentingan dalam Grab bersamaan 63.6 juta saham. 

 

Sementara itu, Hooi Ling memegang 0.8% kepentingan atau 19.6 juta saham dan Maa pula memiliki 0.4% kepentingan atau 11.1 juta saham. 

 

Pengarah dan pegawai eksekutif syarikat itu memegang kepentingan terkumpul 3.8%.

 

Dalam makluman bursa oleh Altimeter Growth Corp, syarikat pengambilalihan tujuan khas (SPAC) itu melihat perolehan Grab bagi tahun kewangan 2022 (FY22), sembilan hingga 11 kali ganda lebih menarik berbanding pesaingnya yang dalam purata 10 kali ganda.

 

Menurut makluman sama, kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) perolehan Grab bagi FY20  hingga FY22 sebanyak 43%. - DagangNews.com