CGS-CIMB : Aktiviti pembinaan merosot dengan ketara sejak ‘lockdown’ | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB : Aktiviti pembinaan merosot dengan ketara sejak ‘lockdown’

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Julai - Hasil semakan firma penyelidikan, CGS-CIMB Research dengan beberapa kontraktor, tahap produktiviti di tapak pembinaan merosot dengan ketara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dikuatkuasakan pada 1 Jun 2021. 

 

Sebagai rekod, kerajaan menetapkan kapasiti pekerja hanya 60% yang dibenarkan beroperasi di tapak pembinaan. 

 

Apabila Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mula dilaksanakan sejak 3 Julai lalu, di beberapa mukim dan kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur, penganalisis CGS-CIMB, Sharizan Rosely melihat ini satu perkembangan negatif untuk keseluruhan sektor berkenaan. 

 

Hal ini berikutan kesemua kerja-kerja pembinaan tidak boleh diteruskan dalam tempoh tersebut, tetapi hampir semua kontrak projek besar yang sedang berjalan tertumpu di Selangor dan Kuala Lumpur. 

 

“Sebagai alat pengukur, anggaran kasar awal kami ke atas impak 30 hari pemberhentian kerja di bawah PKP 1 dan 2 pada 2020, kami mengunjurkan pemotongan 14% hingga 22% perolehan sesaham (EPS) buat kontraktor di bawah liputan kami. 

 

“Dalam anggaran ini, impak ke atas hasil dan EPS lebih besar buat kontraktor yang terlibat dalam segmen hartanah (pembilan yang lemah), REIT (gangguan aset runcit dan hotel) dan konsesi tol jalan raya (jumlah trafik rendah). 

 

“Kontraktor yang berpelbagai di bawah liputan kami termasuk Gamuda Berhad, IJM Corporation Berhad, Sunway Berhad, Malaysian Resources Corporation Berhad dan YTL Corporation Berhad. Kami melihat impak negatif yang lebih rendah ke atas perolehan kontraktor bagi penggantungan kerja-kerja selama dua minggu ini,” katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Pada hujung minggu lalu, Kementerian Kerja Raya (KKR) mengumumkan semua kerja pembinaan dan berkaitan di kawasan PKPD di Selangor dan Kuala Lumpur perlu dihentikan selaras dengan pengumuman Majlis Keselamatan Negara (MKN).

 

Jelas Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof, surat kebenaran MITI yang telah diterima tidak boleh digunakan untuk meneruskan kerja pembinaan sepanjang tempoh PKPD.

 

Walaupun arahan pemberhentian kerja itu lebih singkat daripada 30 hari semasa tempah PKP 1 dan 2 tahun lalu, namun bagi Sharizan, impak negatif bersih ke atas perkembangan bil pemain industri mendatangkan risiko perolehan buat mereka.

 

CGS-CIMB kekal ‘neutral’ ke atas sektor pembinaan yang dijangka menyaksikan pemulihan besar pada separuh kedua tahun 2021 (2H21), setelah terjejas akibat penguatkuasaan PKP penuh dan PKPD serta penangguhan dalam kontrak besar seperti Transit Aliran Massa 3 (MRT3).

 

Buat masa ini, firma itu percaya sentimen sektor pembinaan akan terus berhati-hati didorong oleh ketidaktentuan politik dan risiko perolehan daripada PKP penuh dan PKPD. - DagangNews.com