CMP3 berpotensi letak Malaysia di kedudukan tinggi dalam pasaran modal global - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

CMP3 berpotensi letak Malaysia di kedudukan tinggi dalam pasaran modal global - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Sept. - Dalam tempoh lima tahun lagi, Malaysia dijangka melonjak ke kedudukan lebih tinggi dalam pasaran modal global sekiranya Pelan Induk Pasaran Modal Ketiga (CMP3) berjaya dilaksanakan. 

 

Firma penyelidikan, AmBank Research menjangkakan pasaran modal tempatan akan terus berdaya saing dan menarik ekoran pasaran yang lebih efisien, berpelbagai dan bersesuaian ketika trend global berubah.

 

“Kerangka itu akan menetapkan hala tuju pasaran modal negara untuk menjadi lebih relevan, cekap dan berpelbagai. 

 

“Dengan pasaran modal yang mempunyai kecekapan, keterangkuman dan kepelbagaian tinggi, Malaysia mampu menarik lebih ramai pelabur dan penilaian lebih baik, seterusnya memberi kelebihan kepada perniagaan dan ekonomi negara,” jelas firma itu dalam satu nota penyelidikan, hari ini. 

 

Semalam, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melancarkan CMP3 yang akan berfungsi sebagai rangka kerja strategik bagi pertumbuhan pasaran modal Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang. 

 

Ia berusaha untuk memanfaatkan daya tahan dan potensi pasaran modal Malaysia bagi mempercepat pertumbuhan ekonomi mampan dan inklusif.

 

Baca : Pelan Induk Pasaran Modal 5 Tahun - sokong tahap seterusnya pertumbuhan Malaysia

 

Bagi mencapai hasil keluaran yang diinginkan, CMP3 menggariskan enam teras pembangunan dan peraturan utama, yang secara kolektif akan berfungsi sebagai prinsip dalam membangunkan inisiatif strategik selama lima tahun akan datang.

 

Buat masa ini, pasaran modal Malaysia terutamanya ekuiti dijangka terus didominasi oleh perkembangan politik dan COVID-19, menurut PublicInvest Research menerusi nota kajian berbeza.

 

Jelas firma penyelidikan itu, pasaran tersebut akan terus berorientasikan dagangan, walaupun menyaksikan kemasukan dana asing yang menggalakkan kebelakangan ini.

 

“Dari segi perspektif jangka sederhana hingga panjang, pasaran ini masih kelihatan menarik, ketika ini didagangkan sekitar sisihan piawai 1, di bawah purata harga kepada perolehan. 

 

“Kami terus menggalakkan pembelian saham lemah, dengan jangkaan akan melonjak pada suku keempat 2021 (4Q21). Kami mengekalkan unjuran penutupan FBM KLCI bagi 2021 pada 1,590 mata,” ujar PublicInvest Research. - DagangNews.com