Co-opbank Pertama umum dividen 6.82%, bernilai RM58.93 juta | DagangNews Skip to main content

Co-opbank Pertama umum dividen 6.82%, bernilai RM58.93 juta

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Julai - Co-opbank Pertama (CBP) mengumumkan dividen sebanyak 6.82% bagi syer keutamaan (iRCPS) dan 6.10% bagi syer biasa untuk tahun kewangan 2021.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohamad Anuar berkata, para anggota CBP boleh membuat pengeluaran dividen masing-masing bermula 18 Julai 2022 secara dalam talian melalui aplikasi e-Semakan atau di semua cawangan CBP di seluruh negara. 

 

Beliau berkata, pembayaran dividen bagi tahun kewangan 2021 yang berjumlah lebih RM58 juta itu merupakan jumlah yang tertinggi dalam sejarah penubuhan CBP sejak dari tahun 1950.

 

"Bagi tahun 2021, jumlah pembayaran dividen yang dibayar adalah sebanyak RM58.93 juta berbanding tahun 2020 yang berjumlah RM58.3 juta. 

 

"Peningkatan jumlah bayaran ini akan memberi manfaat kepada 91,601 anggota CBP yang layak. Jumlah syer keseluruhan CBP melebihi RM1.03 bilion setakat 31 Disember 2021," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Khairil Anuar, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, CBP merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM86.16 juta iaitu peningkatan sebanyak 2.4% dari tahun 2020 yang berjumlah RM84.15 juta. 

 

"Prestasi baik ini didorong oleh pelaksanaan strategi perniagaan yang berkesan oleh Pengurusan CBP walaupun terdapat sedikit peningkatan bagi Pinjaman Tidak Berbayar yang disumbang dari pembiayaan sektor koperasi dan korporat," katanya.

 

 

cbp
Khairil Anuar Mohamad Anuar

 

 

Bagaimanapun katanya, jumlah keanggotaan CBP menunjukkan sedikit penurunan sebanyak 858 anggota dengan jumlah keseluruhan anggota pada tahun 2021 adalah sebanyak 91,601.

 

Penyata dividen boleh disemak mulai 22 Julai 2022 di https://dividen.cbp.com.my. - DagangNews.com