100 anak yatim diraikan di Majlis Iftar Persatuan Kebajikan Ronald McDonald | DagangNews Skip to main content

100 anak yatim diraikan di Majlis Iftar Persatuan Kebajikan Ronald McDonald

Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia dengan kerjasama JAWI dan MAIWP menganjurkan majlis iftar bersama lebih 100 anak yatim di Masjid Al-Qurtubi, Taman Sri Segambut, Kuala Lumpur.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 31 MAC 2023 - Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia menganjurkan Majlis Iftar bersama lebih 100 anak yatim dari tiga rumah kebajikan terpilih di Lembah Klang.

 

Dalam majlis sama, McDonald’s Malaysia turut memberikan duit raya kepada anak-anak yatim berjumlah RM100 setiap seorang daripada dana wakalah zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

 

Tiga rumah kebajikan anak yatim yang terpilih terdiri daripada Pertubuhan Nur Kasih Bestari, Rumah Permata Hatiku, dan Rumah Anak Yatim Al-Sagoff, yang turut mendapat sumbangan wang tunai bernilai RM5,000 setiap satu bagi meringankan beban pengurusan terutamanya bagi tujuan persiapan menjelang Aidilfitri.

 

Presiden RMHC Malaysia merangkap Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata pihaknya komited menjalankan dan menyokong pelbagai inisiatif demi kesejahteraan kanak-kanak yang memerlukan di negara ini.

 

 

RMHC

 

 

“Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, meraikan anak yatim dengan majlis berbuka puasa dan sumbangan untuk persiapan Aidilfitri sudah menjadi tradisi kami daripada tahun ke tahun.

 

Ini juga cara kami meluaskan capaian dalam mendekati lebih ramai kanak-kanak yang memerlukan dan pihak yang turut mempunyai komitmen yang serupa melibatkan kesejahteraan kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Majlis yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan MAIWP di Masjid Al-Qurtubi, Taman Sri Segambut, Kuala Lumpur itu.

 

“Kedatangan Ramadan amat ditunggu-tunggu untuk kita semua memperbanyakkan amal jariah dan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

 

 

gmbr

 

 

Besar harapan kami agar majlis berbuka puasa hari ini dan sumbangan yang disampaikan kepada anak-anak yatim yang hadir memberi keceriaan kepada mereka,” tambah beliau.

 

RMHC Malaysia merupakan organisasi bukan berasaskan keuntungan menumpukan segenap usahanya k earah kesejahteraan kanak-kanak yang kurang bernasib baik di Malaysia.

 

Sebagai badan kebajikan pilihan McDonald’s Malaysia, sejumlah besar dana RMHC Malaysia datang daripada McDonald’s Malaysia.

 

RMHC Malaysia turut menerima dana daripada syarikat-syarikat korporat dan individu-individu prihatin bagi pelaksanaan program-program utamanya yang berteraskan kebajikan, kesihatan dan pendidikan. -DagangNews.com