AirAsia Malaysia 'terbangkan' jenama Naelofar, Jovian | DagangNews Skip to main content

AirAsia Malaysia 'terbangkan' jenama Naelofar, Jovian

Oleh DIYANA ISAMUDIN

SEPANG 27 Jan - AirAsia Malaysia melebarkan sayap dengan mendukung pereka fesyen serta usahawan tempatan dan ASEAN sejajar dengan pelan pengembangan utamanya.

 

Pelan itu merangkumi segmen perkhidmatan serta menu dalam penerbangan dan barangan bebas cukai, sepanjang tahun ini bagi menambah rangkaian produknya.

 

Bagi suku pertama 2023, kerjasama pertama ini membabitkan jenama Naelofar mulai sekarang sehingga 31 Mac di dalam semua penerbangan AirAsia Malaysia (AK) dan AirAsia X Malaysia (D7) serta di dalam aplikasi Super App.

 

 

naelofar x airasia

 

 

Syarikat penerbangan itu juga akan bekerjasama dengan ikon fesyen Jovian Mandagie bagi koleksi pakaian Jovian Ready-To-Wear.


 
Tetamu boleh mendapatkan produk eksklusif Jovian seperti selendang, skaf, wangian dan tumbler pilihan Jovian di dalam penerbangan AK dan D7 tidak lama lagi. 

 

Pengurus Besar Bahagian Operasi Runcit dan Makanan, Catherine Goh berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan pereka fesyen serta usahawan tempatan dan ASEAN yang bukan sahaja memberi inspirasi tetapi telah mendapat pengiktirafan di seluruh dunia.

 

“Kami akan sentiasa berusaha untuk mempamerkan keindahan serta nilai jenama tempatan melalui rangkaian luas AirAsia dan inisiatif penjenamaan berterusan. 

 

“Malah, kami percaya terdapat pelbagai potensi yang belum diterokai bagi usahawan tempatan dan kami berharap untuk terus memperjuangkan pengembangan dan pendedahan jenama 100% buatan Malaysia melalui rangkaian bebas cukai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

black & pink air asia

 

 

Selain itu, Santan sebagai jenama hidangan dalam penerbangan Airsia memperkenalkan menu baharu sempena musim perayaan ini sehingga 31 Mac 2023.

 

Antara hidangan istimewa Tahun Baru Cina adalah Kombo Nasi Pulut bersama Ayam dan Dim Sum. Ia merangkumi mai ayam, mai lada hitam, otak-otak serai, tauhu bersama hidangan nasi pulut beserta ayam BBQ dan cendawan dengan minuman pada RM15 (pra tempah) atau RM17 (dalam penerbangan, tertakluk kepada ketersediaan). 

 

Kombo pencuci mulut ‘Black & Pink’ edisi terhad pula adalah hidangan kek gulung berperisa raspberi dan coklat, bersama segelas minuman sparkling Sakura yang menyegarkan pada RM12 (dalam penerbangan). - DagangNews.com