AME Elite sasar i-TechValley di Johor capai GDV RM1.5 bilion | DagangNews Skip to main content

AME Elite sasar i-TechValley di Johor capai GDV RM1.5 bilion

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 4 Okt - AME Elite Consortium Bhd. menyasarkan i-TechValley yang baru dilancarkan di Kluster Perindustrian dan Logistik Selatan (SILC) Fasa 3, Johor akan meraih nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.5 bilion.

 

Dibangunkan oleh anak syarikat milik penuh kumpulan, Pentagon Land Sdn. Bhd. dan Greenhill SILC Sdn. Bhd., taman perindustrian seluas 170 ekar itu akan menampilkan hartanah perindustrian daripada unit standard seluas 1 dan 3 ekar kepada bangunan yang lebih besar bersesuaian dengan keperluan pelanggan.

 

 

ame elite
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Perdagangan dan Pelaburan Johor, Lee Ting Han (tengah) ketika melancarkan i-TechValley di Kluster Perindustrian dan Logistik Selatan (SILC) Fasa 3, Johor yang turut dihadiri Pengarah Urusan Kumpulan AME Elite, Kelvin Lee Chai (empat dari kanan) dan Pengarah Eksekutif AME Elite, Simon Lee Sai Boon (dua dari kiri).

 

 

Pengarah Urusan Kumpulan AME Elite, Kelvin Lee Chai berkata, i-TechValley mencerminkan kejayaan membangunkan taman perindustrian yang dibina khas dengan penekanan terhadap kemampanan.

 

Katanya, sebagai penyedia penyelesaian ruang industri sepenuhnya merangkumi perundingan, reka bentuk dan pembinaan, kumpulan mampu menggabungkan reka bentuk dan ciri yang mampan untuk pelanggan mengoptimumkan kecekapan tenaga dan masih mencapai fungsi operasi yang tinggi.

 

"Kami yakin i-TechValley di SILC ini mampu menarik pelaburan langsung asing dari seluruh dunia seperti mana kejayaan yang direkodkan i-Park@Indahpura dan i-Park@Senai Airport City.

 

"Malah, kami berhasrat untuk melihat i-TechValley membawa titik perubahan kepada satu penanda aras baharu dalam landskap taman perindustrian," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Majlis pelancaran i-TechValley itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Perdagangan dan Pelaburan Johor, Lee Ting Han. 

 

Sebelum dilancarkan secara rasmi, ia telah menarik minat pelaburan daripada syarikat multinasional (MNC) terkemuka dan tempatan termasuk dua gergasi farmaseutikal dari Amerika Syarikat (AS).

 

Taman perindustrian i-TechValley itu terletak di lokasi strategik dalam zon ekonomi Iskandar Puteri dan berhampiran dengan Singapura.

 

Ia disokong dengan infrastruktur utama seperti jalur lebar berkelajuan tinggi dan penyelesaian solar fotovoltaik (PV) hujung ke hujung, serta sistem keselamatan 24 jam.

 

Tambahan pula, i-TechValley di SILC menerapkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan tumpuan kepada pembangunan industri yang mampan untuk perniagaan meningkatkan pertumbuhan. - DagangNews.com