KUALA LUMPUR 31 Dis - Sebuah syarikat pembekal katering menjadi majikan pertama di Malaysia disita asetnya, selepas gagal menyelesaikan tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM19,765.20.
Pengarah Perkeso Selangor, Ismail Abi Hashim berkata, tindakan tersebut diambil selepas waran Melevi dikeluarkan oleh mahkamah susulan permohonan Perkeso, berikutan kegagalan syarikat mematuhi perintah Mahkamah Majistret Shah Alam pada 9 Mac yang mengenakan denda RM4,000 kerana gagal menyelesaikan tunggakan berkenaan.
Waran Melevi adalah perintah mahkamah yang membenarkan tindakan penyitaan aset dilakukan.
"Mahkamah juga membenarkan syarikat tersebut membayar tunggakan RM19,765.20 mulai 25 Mac 2023 melalui enam ansuran dan sekiranya gagal, waran Melevi akan dikeluarkan," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Ismail berkata, syarikat itu gagal menyelesaikan tunggakan selepas tempoh yang ditetapkan, menyebabkan Perkeso Selangor memohon perintah mahkamah untuk menyita aset syarikat tersebut.
Beliau berkata, penyitaan berkenaan melibatkan aset yang dianggarkan bernilai sekitar RM20,000.
Tambahnya, syarikat tersebut diberi masa tujuh hari bermula semalam untuk menyelesaikan tunggakan Perkeso sebelum tarikh lelongan yang ditetapkan pada 13 Januari 2025. - DagangNews.com