Kementerian Komunikasi terap Konsep Musyawarah bagi meningkatkan produktiviti - Fahmi | DagangNews Skip to main content

Kementerian Komunikasi terap Konsep Musyawarah bagi meningkatkan produktiviti - Fahmi

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menghadiri sesi Live Feed Amanat Perdana Menteri 2025 bersama warga Kementerian Komunikasi di Putrajaya pada 3 Januari 2025. - Gambar BERNAMA
Oleh BERNAMA

PUTRAJAYA 3 Jan - Kementerian Komunikasi menerapkan konsep musyawarah bagi mendapatkan pandangan dan suara di semua peringkat seperti ditekankan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam meningkatkan lagi produktiviti.

 

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata beliau telah meminta Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa untuk meneliti kaedah penerapan konsep berkenaan di kementerian.

 

“Saya nampak pesanan Perdana Menteri untuk cari cara meningkatkan produktiviti dan bukan hanya bermuhasabah tetapi bermusyawarah mendapatkan pandangan dan suara daripada semua dalam pasukan.

 

“Ini saya minta di Kementerian Komunikasi, KSU kita teliti apa yang boleh kita lakukan supaya di peringkat unit yang terkecil dalam mana-mana jabatan (supaya) mutu dan produktiviti boleh diteliti dan ditambah baik,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi Live Feed Amanat Perdana Menteri 2025 bersama warga Kementerian Komunikasi di sini hari ini yang turut dihadiri timbalannya Teo Nie Ching dan Mohamad Fauzi.

 

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

 

Fahmi berkata pesanan Perdana Menteri supaya perkhidmatan awam terus diperkasakan merupakan satu peringatan baik, sekali gus mengingatkan penjawat awam untuk sentiasa berusaha meningkatkan produktiviti mereka.

 

“Ini satu peringatan yang baik bahawa kita jangan sesekali sekadar berasa apa yang telah kita capai itu memadai tetapi kita perlu lakukan refleksi dan memikirkan apa yang boleh kita lakukan untuk memperbaiki keadaan, mengatasi kelemahan dan kekurangan.

 

“Pada masa sama, jangan kita alpa ataupun culas atau lupa untuk berasa syukur atas apa yang telah kita berjaya lakukan,” katanya. - DagangNews.com