KUALA LUMPUR 17 Okt - AmInvestment Bank mengekalkan saranan 'beli' terhadap Hibiscus Petroleum Bhd. dengan harga sasarannya dinaikkan kepada RM1.48 daripada RM1.30 sesaham sebelum ini.
Sejajar dengan semakan itu, firma itu menaikkan unjuran pendapatan sebanyak 5% bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY25) berikutan hasil daripada aset Anasuria yang lebih tinggi.
Di samping itu, ia juga didorong bahagian pengeluaran minyak berhak bersih yang lebih tinggi berikutan peningkatan pemilikan dalam medan minyak Teal West kepada 100%.
"Bagaimanapun, unjuran kami bagi pendapatan FY23 hingga FY24 tidak berubah memandangkan medan minyak hanya akan mula menyumbang kepada pendapatan dengan ketara bermula separuh kedua 2024 (bersamaan dengan permulaan FY25 bagi Hibiscus)," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pegangan Hibiscus dalam Blok 21/24d yang dimiliki di bawah UK Petroleum License P2535, mengandungi medan minyak yang sedang dibangunkan Teal West, telah meningkat kepada 100% daripada 70% sebelum ini apabila rakan kongsinya Neo Energy (ZPL) Ltd. secara rasmi menarik diri daripada lesen itu.
Sebelum ini, Anasuria Hibiscus UK Ltd. (Anasuria Hibiscus) milik penuh Hibiscus dan Neo Energy telah dianugerahkan kepentingan dalam lesen semasa Pusingan Pelesenan Luar Pesisir ke-32 UK pada awal 2021.
Anasuria Hibiscus sebelum ini memegang 70% kepentingan dan merupakan pengendali yang dilantik untuk Blok 21/24d, dengan NEO Energy mengambil baki 30% pegangan.
Bagaimanapun, pada 8 Julai lalu, Neo Energy kemudiannya menyatakan hasrat untuk menarik diri daripada Lesen P2535.
Ini memandangkan peringkat lanjutan kerja-kerja teknikal yang telah disiapkan serta pertambahan nilai lumayan yang akan diperoleh daripada medan minyak Teal West, Anasuria Hibiscus memutuskan untuk meneruskan pembangunan Blok 21/24d dengan kepentingan 100%.
Secara dasarnya, medan minyak Teal West terletak bersebelahan dengan medan Teal dan terletak 4 kilometer (km) dari gugusan Anasuria.
Medan minyak yang sedang membangun itu dirancang untuk dihasilkan oleh Anasuria FPSO - terletak 4km jauhnya, di mana cecair telaga akan diproses dan dieksport melalui infrastruktur Anasuria.
AmInvestment berkata, medan minyak Teal West, yang membawa sumber kontinjen 2C sebanyak 5.7 juta tong setara minyak berdasarkan pegangan 100%, dijadualkan memulakan penggerudian telaga pertamanya pada suku ketiga 2023, dengan sasaran untuk mencapai minyak pertama menjelang suku kedua 2024.
Selepas memulakan aktiviti pengeluaran pada separuh kedua 2024, medan minyak itu dijangka meningkatkan kadar pengeluaran harian bersih Anasuria dengan tambahan 4,300 hingga 5,000 tong minyak sehari (bopd) atau 2.0 hingga 2.3 kali daripada 2,199 bopd pada FY22.
BACA: Hibiscus Petroleum menerusi Anasuria peroleh kawalan ke atas baki 30% kepentingan dalam lesen pengeluaran minyak UK
"Pemilikan yang lebih tinggi dalam medan minyak Teal West akan menyaksikan Hibiscus kini perlu melaksanakan komitmen perbelanjaan modal (capex) yang lebih tinggi dan menanggung risiko operasi yang lebih besar dalam membangunkan medan minyak menjadi aset pengeluar.
"Tetapi kami positif dengan perkembangan ini disokong oleh rekod prestasi kumpulan sebelum ini dalam mengembangkan asetnya," jelasnya.
Setakat 10.11 pagi ini, harga saham Hibiscus Petroleum susut 2 sen atau 2.14% kepada 91.5 sen dengan 1.68 juta saham diniagakan. -DagangNews.com