BAT Malaysia lancar kebun komuniti untuk pupuk minat penduduk dalam aktiviti pertanian | DagangNews Skip to main content

BAT Malaysia lancar kebun komuniti untuk pupuk minat penduduk dalam aktiviti pertanian

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Mac - British American Tobacco (Malaysia) Bhd (BAT Malaysia) melancarkan kebun komuniti yang dikenali sebagai 'Beyond Benih' di Tanjong Karang, Selangor untuk mendedahkan amalan bercucuk tanam dalam kalangan komuniti menerusi pertanian organik.

 

Setakat ini, dua kebun perintis telah dilancarkan di Tanjung Karang dan Shah Alam, dan kedua-duanya sejajar dengan Dasar Taman Komuniti Bandar Malaysia.

 

Projek ini adalah sebahagian daripada komitmen BAT Malaysia terhadap kemampanan dan perjalanan ke arah 'A Better Tomorrow'.

 

Pengarah Kewangan BAT Malaysia, Anthony Yong berkata, melalui projek itu, pihaknya menyasarkan untuk memperkasakan komuniti untuk berkongsi kemakmuran dan impak positif. 

 

"Kami mahu memainkan peranan dalam mewujudkan komuniti pertanian yang makmur dan mesra alam di seluruh Malaysia. 

 

"Sepanjang projek ini, peranan kami adalah untuk menyokong komuniti dengan sumber dan pembiayaan, pemindahan pengetahuan serta sokongan teknikal melalui kerjasama dengan persatuan penduduk dan Jabatan Pertanian Selangor," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Turut hadir dalam pelancaran itu, Pengarah Undang-Undang dan Hal Ehwal Korporat BAT Malaysia, Rohan Gnanaganesan; wakil Jabatan Pertanian Persekutuan, Johari Abdullah; Ketua Persatuan Komuniti Peladang SGG, Ayub Daim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Rozana Zainal Abidin; Pengarah Bebas Bukan Eksekutif BAT Malaysia, Norliza Kamaruddin dan Datuk Christine Lee Oi Kuan Non.

 

Tambah beliau, BAT Malaysia berhasrat untuk mengubah kehidupan lebih 165,000 masyarakat menjelang 2026.

 

 

bat
(Dari kiri) Rohan Gnanaganesan, Johari Abdullah, Anthony Yong Mun Seng, Ayub Daim, Rozana Zainal Abidin, Norliza Kamaruddin dan Datuk Christine Lee Oi Kuan Non pada majlis pelancaran kebun komuniti di Tanjong Karang, Selangor baru-baru ini.

 

 

Katanya, pihaknya berpotensi untuk terus melabur dalam program tersebut dalam beberapa tahun akan datang sebagai sebahagian daripada komitmen untuk memberi kembali kepada komuniti. - DagangNews.com