BNM lantik semula empat ahli Majlis Penasihat Shariah, dua ahli baharu berkuat kuasa 1 Januari 2023 | DagangNews.com Skip to main content

BNM lantik semula empat ahli Majlis Penasihat Shariah, dua ahli baharu berkuat kuasa 1 Januari 2023

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Jan - Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelantikan semula empat ahli Majlis Penasihat Shariah (MPS) untuk tempoh tiga tahun dan pelantikan dua ahli baharu bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa 1 Januari 2023. 

 

Mereka yang dilantik semula adalah Profesor Universiti Pusat Antarabangsa bagi Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) dan Pengerusi MPS baharu, Prof. Dr. Ashraf Md. Hashim; Profesor Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Timbalan Pengerusi baharu MPS, Prof. Dr. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali; Pengarah Eksekutif, Pusat Pengurusan Penyelidikan ISRA, Universiti INCEIF, Datuk Prof. Dr. Mohamad Akram Laldin dan Ahli Jawatankuasa Penasihat Haji, Lembaga Tabung Haji, Burhanuddin Lukman.

 

Dua ahli baharu MPS yang baru dilantik adalah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh dan Ketua Pengurusan Syariah, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Dr. Ahmad Basri Ibrahim.

 

Ahli-ahli sedia adalah terdiri daripada Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir;  Pengarah, Jaminan Kualiti Penyelidikan dan Penerbitan, Pusat Pengurusan Penyelidikan ISRA, Universiti INCEIF, Dr. Marjan Muhammad dan Peguam, Zainal Abidin Jamal.

 

"Pelantikan ini dibuat menurut seksyen 53(1) Akta Bank Negara Malaysia 2009.

 

"MPS dibarisi sembilan orang ahli yang berkepakaran dan berpengalaman dalam bidang syariah, ekonomi Islam, undang-undang dan kewangan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

MPS merupakan badan berkuasa tertinggi dalam menentukan hukum syarak berhubung dengan perniagaan kewangan Islam di Malaysia. 

 

MPS memainkan peranan penting untuk menggalakkan kepastian pada syariah serta mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap industri kewangan Islam selain berfungsi sebagai penasihat kepada BNM mengenai sebarang isu syariah yang berkaitan dengan perniagaan kewangan Islam, aktiviti atau transaksi 
kewangan Islam yang dijalankan oleh BNM. 

 

BNM juga ingin merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar dan Datuk A. Aziz A. Rahim yang telah menyempurnakan tempoh perkhidmatan mereka sebagai ahli MPS.

 

Mohd. Daud dilantik sebagai pada 1 Mei 1997 dan telah memegang jawatan sebagai Pengerusi MPS sejak 27 Disember 2006 manakala A. Aziz mula dilantik sebagai ahli MPS pada 1 November 2016. 

 

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, MPS memainkan peranan penting dalam memajukan aspirasi kewangan Islam di Malaysia.

 

"Sepanjang tempoh ini, Mohd Daud dan A. Aziz telah memberikan sumbangan yang sangat besar dalam proses tersebut, dan saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih terhadap komitmen dan dedikasi mereka yang tidak berbelah bahagi," katanya. - DagangNews.com