Capital A tubuhkan AirAsia Cambodia, dijangka beroperasi akhir tahun hadapan | DagangNews Skip to main content

Capital A tubuhkan AirAsia Cambodia, dijangka beroperasi akhir tahun hadapan

AAAGL mengendalikan lima laluan ke Kemboja dari Kuala Lumpur ke Siem Reap dan Phnom Penh, dari Pulau Pinang ke Phnom Penh. - Gambar dari laman web Eye On Asia

PHNOM PENH 9 Dis - AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL), cabang syarikat penerbangan di bawah Capital A Bhd. menandatangani perjanjian usaha sama (JV) dengan Sivilai Asia untuk menubuhkan AirAsia Cambodia, syarikat penerbangan tambang rendah baharu di Kemboja.

 

Syarikat penerbangan baharu itu akan memperkukuh lagi jenama AirAsia di Kemboja dan Indochina, menyediakan akses yang lebih besar kepada pasaran domestiknya dan yang paling penting menghubungkannya ke pasaran antarabangsa di seluruh ASEAN, Asia Utara dan seterusnya. 

 

Syarikat penerbangan baharu ini juga akan membolehkan AAAGL beroperasi ke pelbagai pasaran sedia ada untuk membina skala, ketersambungan rangkaian dan mengurangkan kos operasi. 

 

AirAsia Cambodia berhasrat untuk merangsang lagi industri penerbangan di Kemboja, melancarkan destinasi baharu yang menarik dan mewujudkan peluang pekerjaan dan membawa operasi syarikat penerbangan tambang rendah di negara itu.

 

Perjanjian itu telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes dan Vissoth Nam, Pengarah Sivilai Asia, Vissoth Nam di Rosewood Phnom Penh hari ini. 

 

Tertakluk kepada kelulusan kawal selia yang berkaitan, usaha sama tersebut dijangka mula beroperasi pada akhir 2023.

 

 

AirAsia
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A  (kiri), Tan Sri Tony Fernandes dan Vissoth Nam, Pengarah Sivilai Asia, Vissoth Nam menandatangani perjanjian usaha sama di Rosewood Phnom Penh hari ini disaksikan Menteri Sekretariat Penerbangan Awam Negeri, Dr. Mao Havannal. 

 

 

Dalam kenyataan, Tony Fernandes berkata, Capital A sentiasa memberi tumpuan kepada ASEAN kerana ia mempunyai jenama yang paling kukuh. 

 

Katanya, nilai rangkaian AirAsia adalah aset yang tidak dapat diatasi dan akan membuka peluang yang lebih besar untuk menghubungkan Kemboja ke rantau ini, selain China, India dan Asia Utara.

 

“Tahun 2022 adalah mengenai kebangkitan semula syarikat penerbangan kami ke tahap sebelum pandemik yang akan beroperasi sepenuhnya menjelang suku kedua 2023. 

 

"Separuh kedua 2023 pula akan menyaksikan kami memberi tumpuan kepada pertumbuhan syarikat. 

 

"Kami juga yakin dengan keuntungan pada tahun pertama memandangkan Kemboja adalah pasaran tidak asing bagi kami dan di mana kami mempunyai infrastruktur yang lengkap," katanya.

 

Beliau juga memberitahu, semua syarikat penerbangan kumpulan pada masa hadapan akan berpangkalan di ASEAN kerana ia adalah titik utama dan boleh menjana keuntungan dengan cepat.

 

"Selain itu, ia boleh menghubungkan rangkaian luas ke destinasi utama di Kemboja, iaitu Phnom Penh, Siem Reap dan Sihanoukville," tambahnya.

 

Sementara itu, Vissoth Nam berkata, sebagai antara negara pertama yang membuka sekatan perjalanan antarabangsa tanpa kuarantin pada November 2021, Kemboja telah menjadi pemangkin pemulihan perjalanan udara di ASEAN selepas pandemik, diikuti negara-negara lain. 

 

Katanya, peningkatan pilihan syarikat penerbangan dan destinasi juga dijangka akan membuka peluang kepada para pelajar ke luar negara, menyokong perjalanan berkaitan pekerjaan, meningkatkan hubungan perdagangan, memacu pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana baharu.

 

"Hari ini, kami berbangga untuk melancarkan syarikat penerbangan tambang rendah baharu yang bakal beroperasi di Kemboja.

 

“Peningkatan ketersambungan rangkaian di samping tambang bernilai terbaik, pastinya akan merangsang permintaan perjalanan udara dalam kalangan rakyat tempatan," jelasnya.

 

Sebelum pandemik, AirAsia mengendalikan 92 penerbangan mingguan dari Malaysia dan Thailand ke Kemboja. Kini, ia beroperasi kira-kira 47 penerbangan mingguan ke negara kelima operasi AirAsia itu.

 

AAAGL mengendalikan lima laluan ke Kemboja dari Kuala Lumpur ke Siem Reap dan Phnom Penh, dari Pulau Pinang ke Phnom Penh (bermula 3 Januari 2023) serta dari Bangkok (Don Mueang) ke Siem Reap dan Phnom Penh. 

 

Sejak memasuki pasaran Kemboja pada 2005, AirAsia telah membawa lebih 10 juta tetamu ke dan dari negara itu. - DagangNews.com