'CEO Fikry' tawar promosi kopi RM1 menerusi kempen Tealive | DagangNews Skip to main content

'CEO Fikry' tawar promosi kopi RM1 menerusi kempen Tealive

Fikry Ibrahim (kiri) dan Bryan Loo
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Jan - Pelakon terkenal, Fikry Ibrahim memainkan watak sebagai Ketua Pegawai Espresso Tealive untuk kempen kopi semasa jenama teh gaya hidup terkemuka di Asia Tenggara.

 

'CEO Fikry' melancarkan tawaran istimewa yang mana sesiapa yang membeli mana-mana kopi daripada Tealive akan mendapat cawan kedua pada harga RM1 sahaja, hanya pada hari bekerja sebelum pukul 3 petang.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn Bhd, Bryan Loo berkata, Fikry dipilih untuk peranan ini kerana beliau adalah seorang pelakon, model, pengacara TV dan pelawak terkenal yang gaya hidupnya sejajar dengan kisah jenama Tealive.

 

Beliau berkata, Tealive merupakan jenama membanggakan yang dibangunkan di Malaysia dan telah melebarkan sayap ke sembilan negara di lima benua, melayani lebih lima juta pelanggan setiap bulan.

 

"Kami mengalu-alukan Fikry untuk menerajui peranan CEO Tealive bagi kempen kopi kami. Dia juga telah berkembang sejak awal pembabitannya di Lawak Solo hingga menjadi seorang selebriti yang berorientasikan kekeluargaan sihat dan berperwatakan gembira serta diminati jutaan peminat.

 

“Semangat Fikry terhadap jenama Tealive sangat mengagumkan. Jadi, bersama-sama, kami akan beroleh banyak kegembiraan dan keseronokan menghidangkan lebih banyak kopi di seluruh Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dengan 1.1 juta pengikut di Instagram, Fikry, 28, menjalani gaya hidup aktif dan siarannya sering mengenai dirinya yang menikmati keseronokan bermain jet ski, mengembara menunggang motosikal atau bermain futsal dengan rakan-rakan.

 

 

tealive

 

 

"Apabila pertama kali didekati, saya berasa disanjung tetapi juga bimbang kerana saya tidak pernah menjadi Ketua Pegawai Espresso sebelum ini.

 

“Saya mengambil masa dan berusaha untuk mengkaji dan membiasakan diri dengan operasi Tealive supaya saya boleh memainkan peranan ini dengan sebaik mungkin," kata Fikry.

 

Katanya, beliau benar-benar akan memenuhi janji jenama Tealive iaitu ‘Bukan Sekadar Teh’ kerana ingin memberitahu semua orang bahawa Tealive mempunyai kopi Arabica yang hebat.

 

Promosi "CEO Fikry" ini sah sebelum jam 3 petang pada hari Isnin hingga Jumaat. Beli mana-mana kopi dan anda boleh mendapatkan empat minuman ini dengan hanya RM1, termasuk Kopi Signature, Cappuccino, Americano atau Latte, sebarang saiz, panas atau sejuk. - DagangNews.com