CGS-CIMB positif dengan langkah MyEG agihkan pegangan dalam Agmo | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB positif dengan langkah MyEG agihkan pegangan dalam Agmo

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Jan - CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'tambah' terhadap MyEG Services Bhd. dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.10 sesaham memandangkan cadangannya mengagihkan 25.8% pegangan dalam Agmo Holdings Bhd. hanya memberi impak neutral kepada hasil kumpulan. 

 

Ini menyaksikan firma itu mengekalkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) hingga FY24.

 

"Kami melihat cadangan ini adalah positif kepada MyEG untuk memberi ganjaran kepada pemegang sahamnya dan membolehkan mereka membuat keputusan pelaburan berasingan dalam MyEG dan Agmo.

 

"Di samping itu, kumpulan juga menekankan bahawa pelaksanaan berkenaan akan menawarkan potensi untuk pemegang saham yang berhak mendapat manfaat secara langsung," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Minggu lalu, MyEG mengumumkan cadangannya untuk mengagihkan tranche pertama sebanyak 69.75 juta saham dalam penyedia penyelesaian digital, Agmo, berikutan kelulusan pemegang saham semasa mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 19 Januari 2023.

 

MyEG memiliki 25.8% kepentingan dalam Agmo nenerusi anak syarikat milik penuhnya, MyEG Capital Sdn. Bhd. 

 

Jumlah pelaburan MyEG dalam Agmo ialah RM72.7 juta, dan kumpulan itu mengiktiraf RM61.9 juta keuntungan sekali nilai saksama daripada pelaburan berikutan penyenaraian Agmo di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada Ogos 2022.

 

Selepas penyenaraian Agmo, kumpulan merancang untuk memberi ganjaran pemegang saham melalui 
dividend-in-specie (dividen yang dipenuhi dalam aset selain tunai) yang akan dilaksanakan dalam dua peringkat.

 

CGS-CIMB menganggarkan amaun dividen tersirat bagi pemegang saham berhak yang memegang 10,000 saham adalah kira-kira RM67.89 atau 0.75% hasil dividen, berdasarkan harga penutup terakhir Agmo pada 20 Januari 2023. - DagangNews.com