Eksesais Mantis tentera Malaysia-Kanada tingkatkan kesiapsiagaan hadapi ancaman CBRNe | DagangNews Skip to main content

Eksesais Mantis tentera Malaysia-Kanada tingkatkan kesiapsiagaan hadapi ancaman CBRNe

Sebuah pesawat Globemaster C-17 Kanada yang di Pangkalan Udara Subang bersama kelengkapan latihan.
oleh ZAKI SALLEH

KUALA LUMPUR 24 Jan - Kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Kanada terus diperkukuhkan menerusi pelaksanaan Eksesais Mantis Siri 9/2023 edisi kelapan.

 

Eksesais Mantis merupakan latihan bilateral tahunan antara Tentera Darat dan Canadian Special Operation Forces Command (CANSOFCOM).

 

Sebuah pesawat pengangkut strategik Globemaster C-17 tentera udara Kanada pada 13 Januari lalu tiba di Pangkalan Udara Subang bersama kru dan kelengkapan latihan.


 

askar
Eksesais Mantis mengukuhkan kerjasama pertahanan antara tentera Malaysia dan Kanada.

 

askar

 


Latihan selama 10 minggu ini berkonsepkan operasi melawan keganasan dalam situasi ancaman kimia, biologi, radiasi, nuklear dan letupan (CBRNe).

 

Ia bagi menguji tahap keupayaan pasukan-pasukan tim penggempur, CBRN, CIED dan perubatan Tentera Darat.

 

CBRNe bukanlah kemahiran baharu dalam pasukan keselamatan negara, malah peningkatan terhadap kemahiran tersebut sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa.

 

Ini kerana taktik peperangan masa kini tidak hanya melibatkan pertempuran konvesional termasuklah ancaman pengganas dan penggunaan agen kimia sebagai senjata.

 

Atas sebab itu, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasukan keselamatan lain perlu bersedia menghadapi ancaman yang bahaya ini menerusi latihan yang khusus.


 

askar
Latihan selama 10 minggu ini berkonsepkan operasi melawan keganasan dalam situasi CBRNe.

 


Sebagai cabang pertahanan, CBRNe juga melibatkan penggunaan peralatan berteknologi tinggi.

 

Pada edisi tahun lalu, latihan akhir eksesais Mantis telah dijalankan di Stesen MRT Cochrane di Cheras dalam senario mengekang serangan pengganas.


 

askar
Anggota 12 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (CBRNe) semasa terlibat dalam Eksesais Mantis di Stesen MRT Cochrane tahun lalu.

 


Kolaborasi bersama agensi awam ini turut dijadikan sebagai Latihamal Pelan Tindakan Kecemasan dari pihak Rapid Rail Sdn Bhd.

 

Latihan sebelumnya iaitu pada tahun 2018 dilaksanakan di Stesen MRT Maluri.

 

Justeru, Eksesais Mantis yang dilaksanakan sejak 2015 memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara khususnya Tentera Darat dalam mempersiapkan pasukan untuk menghadapi ancaman keselamatan berkaitan CBRNe.

 

Terdahulu, upacara pembukaan eksesais ini telah diadakan di Padang Kawad 12 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (CBRNe) di Kem Terendak Melaka pada Khamis lalu. - DagangNews.com