Empat juta rakyat Malaysia dijangka langgan 5G pada 2023 - kajian Ericsson  | DagangNews Skip to main content

Empat juta rakyat Malaysia dijangka langgan 5G pada 2023 - kajian Ericsson 

KUALA LUMPUR 21 Okt - Empat juta rakyat Malaysia dijangka melanggan perkhidmatan rangkaian selular jalur lebar generasi kelima (5G) pada 2023, demikian menurut laporan ConsumerLab '5G: The Next Wave, yang dikeluarkan Ericsson.

 

Kajian yang dijalankan syarikat telekomunikasi yang berpangkalan di Sweden itu mendapati, kesediaan pengguna 5G adalah tinggi di Malaysia, dengan 43% pengguna di negara ini berhasrat untuk mendaftar bagi 5G pada 2023 dengan 25% sudah mempunyai peranti sedia 5G.

 

"Ini secara tidak langsung menunjukkan kecenderungan yang mendalam terhadap penggunaan 5G. Aplikasi dan perkhidmatan inovatif baharu merupakan faktor utama dalam kadar penggunaan 5G.

 

"Satu daripada setiap lima pengguna awal menjangkakan aplikasi yang inovatif, dan hampir dua kali ganda lebih ramai pengguna 5G yang berpotensi mencari liputan rangkaian yang kukuh," katanya seperti dilapor Bernama hari ini.

 

Berdasarkan laporan itu, sebanyak 87% daripada pengguna di Malaysia menganggap pengalaman 5G yang inovatif adalah penting dalam pelan jalur lebar mudah alih.

 

Penyedia perkhidmatan mudah alih juga mesti mencerminkan permintaan pengguna daripada tawaran 5G dan beralih daripada usaha terbaik kepada kualiti dan pengalaman kandungan yang lebih baik.

 

Laporan tersebut turut menggariskan beberapa trend utama, antaranya, penggunaan 5G akan berdaya tahan kepada inflasi, di mana sekurang-kurangnya 510 juta pengguna di 37 pasaran berkemungkinan menggunakan 5G pada 2023.

 

Ia menunjukkan gelombang seterusnya pengguna berpotensi 5G mempunyai jangkaan berbeza daripada teknologi berbanding pengguna awal.

 

Secara keseluruhan, pengguna melihat penglibatan dengan 5G sebagai bahagian penting dalam gaya hidup mereka pada masa depan.

 

Kajian itu membabitkan lebih 49,000 pengguna di 37 negara dengan menjalankan tinjauan berkaitan 5G global terbesar dalam industri setakat ini dan kaji selidik pengguna terbesar yang dijalankan oleh Ericsson berkenaan sebarang topik.

 

Skop tinjauan itu mewakili pendapat kira-kira 1.7 bilion pengguna di seluruh dunia, termasuk 430 juta pelanggan 5G. - DagangNews.com