Empat organisasi termasuk PLUS diiktiraf Esri Malaysia pelopori inovasi teknologi georuang terkemuka dunia | DagangNews Skip to main content

Empat organisasi termasuk PLUS diiktiraf Esri Malaysia pelopori inovasi teknologi georuang terkemuka dunia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Mac - Empat organisasi utama negara, termasuk PLUS Malaysia Bhd, Alam Flora Sdn Bhd, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Petronas diiktiraf kecemerlangan mereka menggunapakai teknologi georuang terkemuka dunia pada Anugerah GeoInovasi 2023 anjuran Esri Malaysia, baru-baru ini.

 

Para penerima Anugerah Geoinovasi Esri Malaysia GeoInnovation akan secara automatik dicalonkan bagi Anugerah Pencapaian Khas Sistem Maklumat Geografi (SAG). 

 

Majlis SAG yang bakal berlangsung di California, Amerika Syarikat pada Julai 2023 merupakan sebahagian penting daripada Persidangan Pengguna Esri, yang disertai lebih daripada 15,000 perwakilan dari seluruh dunia. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Esri Malaysia, CS Tan berkata, penyelesaian ini menunjukkan bagaimana syarikat-syarikat perniagaan progresif di Malaysia boleh meneroka pola dan trend tersembunyi dalam data mereka untuk membuat keputusan yang lebih baik.

 

Beliau berkata, terdapat pelbagai data yang boleh dimanfaatkan dan teknologi georuang membolehkan syarikat-syarikat mengguna pakai pendekatan berlandaskan data dengan mudah dalam operasi mereka. 

 

"Dengan mencari trend dalam data, teknologi georuang boleh mendedahkan maklumat yang tidak diketahui, menyokong ramalan dan membolehkan perancangan dan unjuran dibuat bagi menjimatkan masa, meningkatkan kecekapan operasi dan menggalakkan kelestarian," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Bagi PLUS Malaysia, organisasi ini membangunkan sistem pemvisualan data PLUSGeoruang, untuk membolehkan kira-kira 3,700 anggota pasukannya di seluruh negara untuk memantau dan menyenggarakan lebuh raya sejauh 1,130 kilometer yang digunakan oleh 1.7 juta kenderaan setiap hari. 

 

 

esri
                                                      CS Tan

 

 

Aplikasi georuang unik itu menghasilkan pemandangan masa sebenar dinamik bagi operasi untuk menguruskan sebarang kejadian termasuk kesan alam sekitar akibat tumpahan minyak Gunung Tempurung dan penutupan lorong akibat banjir kilat. 

 

Menurut Ketua Pegawai Teknologi PLUS Malaysia, Kang Yew Jin, teknologi georuang membawa banyak manfaat bagi pasukan PLUS untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya dengan menjamin kecekapan operasi lebuh raya.

 

"Tambahan lagi, teknologi georuang menghasilkan penyelesaian dan peluang perniagaan baharu, lantas mengubah sama sekali persekitaran keseluruhan bagi industri perkhidmatan dan pengangkutan,” katanya.

 

 

plus
Ketua Bahagian Gudang Pangkalan Data, Teknologi dan Inovasi PLUS, Shahdaryani Abd Talib berkongsi pandangan tentang keselamatan jalan raya pada majlis Anugerah GeoInovasi 2023.

 

 

Bagi Alam Flora pula, pihaknya telah melancarkan platform georuang sendiri yang dikenali GeoFlora, yang mana inovasi ini menggambarkan aliran kerja, meningkatkan kecekapan operasi dan menambah baik penyampaian perkhidmatan. 

 

Penyelesaian tersebut menyokong kerja mengutip dan melupuskan lebih daripada satu juta tan sisa setiap tahun, dengan matlamat mengukuhkan lagi kedudukan Alam Flora sebagai syarikat pengurusan alam sekitar yang utama. - DagangNews.com