Gloria Jean's Coffees sasar kolaborasi bersama koperasi | DagangNews Skip to main content

Gloria Jean's Coffees sasar kolaborasi bersama koperasi

Tan Sri Idris Jusoh mencuba membancuh kopi pada majlis pelancaran cawangan Gloria Jean’s Coffees di Menara Felda - Platinum Park KLCC pada 20 Januari 2023.

KUALA LUMPUR 23 Jan – Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) melalui anak syarikatnya Wonderful Lifestyle Sdn Bhd (WLSB) yang merupakan pemegang francais induk jenama Gloria Jean’s Coffees menyasarkan untuk berkolaborasi bersama koperasi bagi membuka 10 cawangan baharu dalam tempoh lima tahun.

 

Gloria Jean’s Coffees meluaskan sayap rangkaiannya dengan membuka cawangan baharu di Menara Felda - Platinum Park KLCC pada Jumaat lalu.

 

Cawangan yang ke-47 ini adalah kepunyaan Koperasi Kakitangan Felda Malaysia Berhad (FELKOP). Pembukaan cawangan Gloria Jean’s Coffees di Menara Felda - Platinum Park KLCC telah disempurnakan oleh Pengerusi FELDA, Tan Sri Idris Jusoh.


 

Pernas
Tan Sri Idris Jusoh menandatangani plak pada majlis perasmian cawangan Gloria Jean’s Coffees di Menara Felda - Platinum Park KLCC pada 20 Januari 2023.

 


Mengulas mengenai industri francais dan pembukaan cawangan baharu Gloria Jean’s Coffees, Ahli Lembaga Pengarah (Exco) Pernas yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah WLSB, Dato’ Abu Bakar As-Sidek Dato’ Mohd Sidek menyeru agar lebih banyak koperasi untuk menceburi dan melabur dalam industri francais khususnya Gloria Jean’s Coffees.

 

"Ini kerana pihak WLSB dapat membantu pihak koperasi daripada segi konsultasi, latihan dan teori serta dibimbing bagi memastikan pulangan pelaburan dapat dicapai dalam jangka masa yang ditetapkan.

 

"Potensi perniagaan kopi dalam bidang francais perlu diteroka oleh pihak koperasi dan diteliti secara kritis," kata beliau dalam kenyataan media.

 

Abu Bakar berkata, budaya minum kopi dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dan perkembangan ini membuka peluang kepada mereka untuk menceburi bidang keusahawanan sekali gus merancakkan lagi industri kopi premium negara seiring dengan usaha meningkatkan taraf ekonomi masyarakat. 

 

Dalam masa yang sama, pembukaan cawangan oleh FELKOP ini diharap akan menjadi satu tanda aras kepada koperasi-koperasi lain untuk meneroka peluang menceburi dan melabur dalam francais Gloria Jean’s Coffes.

 

“Selain itu, Pernas turut memberi peluang kepada bakal usahawan bukan sahaja kepada individu malah kepada pihak koperasi yang berminat menjadi usahawan dengan menyediakan pelbagai bentuk kemudahan seperti khidmat nasihat, pembiayaan dan program latihan bagi membantu mereka untuk memulakan perniagaan khususnya dalam bidang francais,” katanya lagi.  


 

Pernas

 


Pernas setakat ini telah meluluskan pembiayaan kepada 45 orang usahawan kopi Gloria Jean’s Coffees untuk memulakan perniagaan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM13 juta.

 

Pernas menyediakan skim pinjaman pembiayaan sehingga 70% (tertakluk pada terma dan syarat) untuk bakal usahawan. 

 

Gloria Jean’s Coffees merupakan satu-satunya jenama gourmet coffee antarabangsa yang menawarkan sistem francais di Malaysia bagi menggalakkan ramai usahawan baharu menceburi bidang ini dan seterusnya bergelar coffeepreneur.

 

Gloria Jean’s Coffees menawarkan tiga konsep francais kepada yang berminat untuk menceburi perniagaan ini iaitu konsep lot kedai, kiosk dan coffee cart. - DagangNews.com