GMG sasar buka 100 cawangan kedai sukan di Malaysia, Singapura dan Indonesia menjelang 2025 | DagangNews Skip to main content

GMG sasar buka 100 cawangan kedai sukan di Malaysia, Singapura dan Indonesia menjelang 2025

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Jan - GMG menyasarkan pembukaan 100 cawangan kedai sukan di pasaran Malaysia, Singapura dan Indonesia menjelang 2025 sebagai usaha mengukuhkan kedudukan di dalam segmen peralatan serta pakaian sukan di rantau Asia Tenggara.

 

Kumpulan itu juga berhasrat untuk memberi nafas baharu kepada Royal Sporting House (RSH) bagi menarik lebih ramai orang untuk bersukan dan memberi impak positif kepada masyarakat menerusi beberapa strategi baharu.

 

Presiden Sukan GMG, Carl Masterman berkata, dengan sasaran memenuhi keperluan golongan pertangahan, penjenamaan semula RSH adalah bertepatan dengan hasrat kumpulan dalam menempatkan diri mereka sebagai antara pemain utama di dalam sektor itu di pasaran Asia Tenggara.

 

Beliau berkata, pihaknya akan terus memenuhi empat teras utama iaitu menjadikan jenama itu untuk semua, memenuhi keperluan pelanggan dan meletakkan masyarakat sebagai asas utama.

 

"Buat masa sekarang RSH mempunyai 31 cawangan di Malaysia, Singapura dan Indonesia.

 

carl
Carl Masterman

 

"Kami juga berhasrat membuka 18 cawangan Sun, Sand and Sport iaitu jenama kami sendiri di tiga pasaran sama dalam tempoh 36 bulan.

 

"Kami juga akan menjalinkan kerjasama dengan jenama barangan sukan, Columbia bagi membuka enam cawangan di Malaysia dan Singapura," katanya.

 

rsh

 

Sebelum ini GMG mengambil alih RSH daripada Al-Futtaim Group untuk mengukuhkan kehadirannya di pasaran runcit barangan sukan di Asia Tenggara.

 

Menerusi pengambilalihan itu, kumpulan yang berpangkalan di UAE itu akan mengembangkan jangkauannya ke pasaran Indonesia, Malaysia dan Singapura, dengan lebih 700 juta pelanggan di seluruh dunia. - DagangNews.com