Harga minyak meningkat, untung bersih Q2 Hibiscus Petroleum melonjak kepada RM70.47 juta | DagangNews Skip to main content

Harga minyak meningkat, untung bersih Q2 Hibiscus Petroleum melonjak kepada RM70.47 juta

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Feb - Hibiscus Petroleum Bhd merekodkan peningkatan untung bersih sebanyak 45.3% pada suku kedua (Q2) berakhir 31 Disember 2022 kepada RM70.47 juta daripada RM48.49 juta bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.

 

Pendapatan kumpulan itu pada suku berkenaan meningkat 150.74% kepada RM713.13 juta daripada RM284.4 juta.

 

Peningkatan tersebut, menurut kumpulan itu, adalah berikutan harga tinggi yang konsisten untuk minyak, hasil pemeluwapan dan gas serta prestasi operasi yang kukuh.

 

Namun, Hibiscus merekodkan kerugian bagi suku ke suku (QoQ) sebanyak 48% kepada RM70.47 juta berbanding RM135.26 juta pada suku sebelumnya walaupun pendapatan meningkat 18% kepada RM713.1 juta daripada RM604.77 juta.

 

Untung bersih kumpulan itu untuk tempoh enam bulan berakhir 31 Disember 2022 meningkat 128.56% kepada RM205.7 juta berbanding RM90.01 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan meningkat 148.15% kepada RM1.318 bilion daripada RM531 juta.

 

Pengarah Urusan Hibiscus, Dr Kenneth Pereira berkata, pertumbuhan besar pada suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) itu boleh dikaitkan dengan prestasi yang lebih baik daripada aset Peninsula Hibiscus Group dan Anasuria Cluster.

 

“Walaupun pelarasan negatif bukan tunai sekali sahaja daripada rejim Levi Keuntungan Tenaga di United Kingdom, kami masih dapat mencapai jumlah margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susuit nilai dan pelunasan (EBITDA) dan keuntungan bersih selepas cukai (PAT) yang kukuh,” ujar beliau.

 

Menurut Kenneth, tahap prestasi operasi yang kukuh seperti ditunjukkan pada angka masa operasi yang tinggi telah mendorong syarikat untuk mencapai purata volum pengeluaran suku tahunan tertinggi.

 

Kumpulan itu juga mengumumkan dividen interim pertama pada 0.75 sen sesaham untuk FY23.

 

Pada suku kedua itu, sebanyak 1.3 juta tong minyak dan hasil pengeluwapan telah dijual, menyumbang RM605.3 juta kepada pendapatan kumpulan manakala jualan 700,000 tong setara minyak (boe) gas menyumbang kepada RM106.8 juta.

 

Hibiscus menganggarkan jualan kira-kira 7.3 juta boe minyak, hasil pengeluwapan dan gas sepanjang FY23. -DagangNews.com