Hasil Petronas dijangka kekal kukuh - Fitch Solutions | DagangNews Skip to main content

Hasil Petronas dijangka kekal kukuh - Fitch Solutions

KUALA LUMPUR 17 Mac - Fitch Solutions Country Risk and Industry Research (Fitch Solutions) menjangkakan hasil Petroliam Nasional Berhad (Petronas) akan terus kekal kukuh.

 

Fitch Solutions dalam laporannya berkata, perkara itu didorong dengan kerancakan kemasukan pelancong sejak sempadan dibuka semula pada Mac 2022 yang akan menyumbang kepada permintaan bahan api pengangkutan.

 

Sejajar dengan itu, katanya, ia akan membantu volum jualan untuk segmen hiliran (produk petroleum) dan gas (LNG), bersama-sama menyumbang tiga perempat daripada jualan kumpulan.

 

Walau bagaimanapun, menurut laporan itu, berikutan pertumbuhan global yang perlahan dan kebimbangan mengenai kemelesetan, realisasi Petronas daripada pengeluaran minyak dan gas (O&G) huluan dijangkakan tidak teguh pada tahun ini seperti yang berlaku pada 2022.

 

Fitch Solutions berkata harga minyak mentah Brent telah menyederhana pada suku 1Q2023 semasa (harga semasa: AS$74.6/tong) kepada kadar purata AS$83.5/tong, turun 3% berbanding purata AS$86/tong pada 4Q2022.

 

“Secara umum, harga minyak mentah masih kekal tinggi dan akan membantu terus menjana aliran tunai operasi yang kukuh dan diyakini mencukupi untuk membiayai keperluan perbelanjaan modalnya,” katanya.

 

Fitch Solutions turut mengekalkan penarafan “market perform” ke atas Petronas, ia amat selesa dengan kredit (lembaran imbangan yang kukuh dan penjanaan aliran tunai operasi yang teguh) dan menjangkakan pendapatannya kekal memberangsangkan pada 1Q2023, ditambah pula dengan bonnya didagangkan secara adil berdasarkan nilai relatif.

 

Tambahnya, syarikat itu menyaksikan peningkatan hasilnya sebanyak 49% tahun ke tahun kepada RM333 bilion pada FY2022 didorong oleh harga produk yang lebih tinggi di semua segmen, menafikan penurunan sedikit dalam jumlah jualan.

 

Firma itu berkata Petronas mengekalkan profil kredit yang teguh, aliran hasil geografi yang pelbagai dan mendapat sokongan kerajaan.

 

“Keseluruhan sumber minyak & gas itu adalah di Malaysia dan menyediakan sumber pendapatan yang besar kepada kerajaan, justeru berkongsi hubungan yang sangat kuat dengannya.

 

"Walaupun syarikat itu mengekalkan rizab tunai yang besar dan kedudukan tunai bersih, ia perlu membayar dividen kepada kerajaan yang mungkin menekan aliran tunainya," katanya. - DagangNews.com