Hebatnya motif Malaysiana Klasik | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 13 March 2023

HEBATNYA MOTIF MALAYSIANA KLASIK

Motif Malaysiana cerminan identiti ketamadunan

 

 

 

KEHIDUPAN dan pemikiran masyarakat Melayu lama terjalin  dengan alam semula jadi sejak beribu tahun.

 

Persekitaran Alam Melayu begitu mencabar dan memerlukan kefahaman tinggi demi memastikan selamat dari bencana - dari gunung-ganang dan bukit-bukau yang menyimpan khazanah bumi hingga lautan luas dan perairan Kepulauan Melayu yang satu masa dulu dikenali sebagai Teluk Primula dan Laut Melayu.

 

Hubungan rapat dengan Alam Melayu yang dikelilingi hutan khatulistiwa dipaparkan dalam kehidupan seharian. Selok-belok sungai yang memberikan rezeki  juga boleh membawa malapetaka yang dahsyat apabila dilanda ribut di musim tengkujuh.

 

Oleh itu alam semulajadi mesti difahami dengan mendalam. Setiap sungai dan setiap belantara itu berlainan. Kaum pribumi termasuk Melayu  begitu mahir memerhatikan putaran alam dengan teliti. Pemikir hebat, pemerhatian ini disulami ke dalam gaya hidup, kesenian, pertukangan dan keilmuan serta kearifan tempatan.

 

Dari hikayat lama, kita tahu melalui kegiatan membuka tanah, bercucuk tanam, perikanan, adat istiadat istana dan rakyat jelata, kaum Melayu amat faham dan prihatin tentang ancaman dan keindahan yang menjadi lumrah kehidupan mereka.

 

Legasi Klasik

Salah satu peninggalan yang kita dapat lihat hari ini adalah motif klasik yang begitu sinonim dengan segala pertukangan orang Melayu. Ini sebenarnya hasıl daya cipta kreatif yang menunjukkan kemahiran berfikir aras tinggi bangsa kita.

 

Antara lain, motif-motif ini terlihat dalam motif tekat, anyaman, batik, songket dan keringkam, ukiran kayu, ukiran telepuk dan ukiran logam.


 

tnb

 


Lazimnya, motif klasik digunakan dalam seni tekstil dan busana, seni ukir kayu, seni manuskrip, hulu keris, alat tembikar dan tembaga, pertukangan kapal, alat muzik klasik, pembinaan istana, rumah dan bermacam lagi. Ini adalah antara perhiasan cerminan gaya hidup kita.

 

Motif sebegini juga menghiasi alat-alatan rumah, seperti kukur kelapa, perabut seperti katil dan permainan tradisional seperti wau, gasing, jebak puyuh dan sangkar burung. Barang hiasan yang penting dalam adat Melayu, seperti tepak sirih dan hiasan emas melambangkan mutu dan keaslian yang indah.


 

tnb

 


Mengapakah warisan kita mementingkan kesenian dalam segala warisan dan daya cipta?

Pengerusi MyCreative Venture yang baharu, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik begitu  memperjuangkan kepentingan seni dan budaya.

 

Beliau turut berkongsi penelitian tentang Motif Malaysiana ini, “Memelihara warisan budaya kita melalui motif Malaysiana bukan semata-mata tentang fesyen,” katanya. “Inilah warisan kepada generasi akan datang, supaya mereka boleh memperagakannya dengan bangga dan mengekalkan tradisi kita."

 

Sesungguhnya, kita boleh katakan motif ini mencerminkan identiti ketamadunan kita.

 

Ilham dari Alam dan Bumi

Allahyarhamah Mak Ungku Azah Aziz pernah berkata, “Orang Melayu begitu terpesona, terharu dan kagum terhadap unsur-unsur alam dengan segala hikmah, rahsia, khazanah dan kias-ibaratnya…jelas terpancar dalam bentuk dan rupa, corak dan warna serta kata-kata yang lahir dalam segala bidang ciptaannya – sepertilah ia terpancar dan abadi dalam puisi agung Melayu, yakni pantun.”

 

Buah pinang tumbuh di parit, 

Pucuk rebung tepi ruang; 

Untung tuah kalau baik, 

Di mana tercampak tidak terbuang.

 

Apa yang jelas, ketinggian mutu daya pemikiran Melayu dimanifestasikan melalui peninggalan budaya seperti motif dan pantun klasik.

 

Kesenian terhasil dari nilai-nilai murni, dan rasa cinta terhadap kehidupan yang sebenar, yang saling berkait rapat dan harmonis dengan alam semula jadi. Adiguru dan artisan telah mereka bentuk lakaran yang amat tinggi nilai seninya sehingga digunakan di seluruh Dunia Melayu.


 

tnb

 


Kesenian ini juga telah memanifestasikan konsep seperti kelestarian alam, menggambarkan akal budi dan kesejahteraan kehidupan.

 

Ilham Flora dan Fauna

Prof. Dr Norwani Md. Nawawi (UiTM), pakar tenunan Melayu Malaysia dan serantau berkongsi pandangan, “Motif Klasik Melayu biasanya melibatkan alam semua jadi yang ada di sekeliling serta kepintaran pereka yang kreatif. Kebanyakan motif klasik datang dari flora dan fauna yang ada kaitan dengan perubatan & kepentingan pemakanan harian.”

 

Selain dari tenunan songket dan batik, kita dapat lihat penggunaan motif tumbuhan dalam seni ukiran kayu dan telepuk seta seni tekat termasuk pucuk rebung, bunga teratai, tampuk manggis. Motif fauna pula ada bercirikan ayam dan itik, haiwan yang berkait rapat dalam kehidupan kita.  

 

Dari motif sebegini terhasillah batik, songket dan pelbagai tekstil yang menjadikan Alam Melayu sebagai pusat perdagangan terkemuka dunia beratus tahun dahulu.


 

tnb

 


Ilham Reka Bentuk

Seni anyaman dari negara kita sebenarnya adalah antara yang terbaik di dunia. Dari ketupat ke bakul anyaman Penan, tikar mengkuang Terengganu dan pelbagai jenis hasil alatan rumah, anyaman kita mempunyai identiti corak tersendiri seperti Pecah Lapan, Kelarai Berhati, Kelarai Tampuk Pinang dan bermacam macam lagi.

 

Rumah orang Melayu adalah satu reka bentuk yang paling sesuai di negara tropika khatulistiwa yang terpaksa bertahan cuaca panas, hujan dan ribut petir serta binatang buas. Ia diserikan dengan ukiran yang sangat berseni seperti ukiran awan larat dan motif sulur dan daun serta pelbagai lagi motif mengikut kesenian setempat.

 

Motif seni khat menggunakan petikan al-Quran dan tulisan Jawi banyak terdapat di ambang pintu rumah, masjid dan surau.

 

Ilham Dunia Persembahan

Dari wayang  kulit dan Makyung, terserlah motif yang sinonim dengan warisan persembahan ini dalam alatan, busana dan perhiasan.

 

Dari motif tekat dan anyaman, serta batik dan songket, kita dapat juga melihat motif  bulat,  bentuk segitiga atau gunungan dihiasi sulur-sulur tumbuhan.

 

Kesimpulannya, seni motif Alam Melayu adalah rahsia  besar Adiguru dan nenek moyang yang telah menghadiahkan satu khazanah yang tidak ternilai.


 

tnb

 


Haruskah kita lupakan begitu saja?

Tidak sekali-kali. Motif Alam Melayu memartabatkan keindahan, kehalusan dan kesenian  reka bentuk dari seluruh Nusantara. Inilah  identiti dan jati diri orang Melayu yang mesti kita perjuangkan dan tonjolkan ke persada dunia.

 

Bukti keberadaan ketamadunan, identiti, jatidiri bangsa dan patut dibanggakan.

 

“Hikayat dan cerita rakyat adalah bukti keberadaan tamadun lama kita.”


 

tnb

 


Nota: Penulisan ini adalah hasil diskusi santai di Hikayat Fandom, GMBB KL bersama Noor Azmi Said yang singgah bersama keluarganya pada bulan Februari yang lalu. Terima kasih di atas perkongsian menarik dan kesudian membuahkan pertanyaan yang sangat penting ini.

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

Portfolio Tags