Hidup ini terlalu singkat untuk berhadapan dengan A***ole! | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 18 January 2023

Hidup ini terlalu singkat untuk berhadapan dengan A***ole!

 

 

 

DALAM menjalani kehidupan seharian, sudah pasti setiap orang tidak terlepas berhadapan dengan masalah iaitu cuba mengelakkan diri dari seseorang atau sekumpulan orang di tempat kerja.

 

Secara kebiasaannya, seseorang dan sekumpulan orang yang cuba dielakkan adalah orang yang diberi jawatan yang lebih tinggi atau mempunyai kuasa dari segi tadbir urus tetapi menjadi pembuli dan menjatuhkan orang lain!

 

Ini tidak seperti ungkapan popular seperti mana yang diungkapkan oleh Benjamin Franklin Parker (salah satu watak fiksyen dalam buku komik Spiderman) di mana:

 

"With great power comes great responsibility"

 

Diterjemahkan dalam bahasa Melayu, ia bermaksud - "Dengan kuasa besar datang tanggungjawab besar".


 

Eksponen

 


Tetapi sebelum ungkapan ini popular dalam komik, siri animasi mahupun filem Spiderman, petikan ayat ini sebenarnya telah wujud sejak Revolusi Perancis.

 

Ungkapan ini telah tercatat dalam koleksi dekri yang di buat oleh Konvensyen Nasional Perancis dan jika diterjemahkan bermaksud:

"Mereka mesti menganggap bahawa tanggungjawab besar tidak dapat dipisahkan dari kuasa besar."

 

Berdasarkan kedua-dua ungkapan ini, ia memberi maksud –  jika anda mempunyai keupayaan (kuasa) untuk melakukan sesuatu, pastikan anda melakukannya untuk kebaikan orang lain.

 

Tetapi, malangnya! Sesetengah orang yang mabuk kuasa berfikir bahawa, apabila mereka mempunyai kuasa dan jawatan yang tinggi, mereka boleh menyalahgunakannya untuk menguasai dan menganiaya orang lain.  

 

Sejarah juga telah membuktikan bahawa banyak orang yang mempunyai dan telah diberikan kuasa besar adalah punca kepada kerosakan yang berlaku pada hari ini.

 

Mengenal Mereka Melalui Tingkah Laku dan Istilah Tepat Untuk Mereka

Berdasarkan buku bertajuk The No Asshole Rule: Building a Civilized Workplace and Surviving One That Isn’t  yang ditulis oleh Bob Sutton, seorang Profesor di Stanford Business School. Teknik "Dirty Dozen" boleh digunakan untuk mengenal mereka melalui watak dan tingkah laku.

 

The No Asshole Rule: Building a Civilized Workplace and Surviving One That Isn’t 

 

Tetapi siapa mereka ini? Apa istilah tepat yang paling sesuai dengan mereka?

 

Pelaku, orang atau sekumpulan orang seperti ini biasanya dipanggil dan dikenali sebagai pembuli.

 

Tetapi istilah yang paling tepat untuk menggambarkan pelaku mereka yang kerap menyalahgunakan kuasa untuk membuli atau menjatuhkan orang lain adalah asshole.

 

Ini adalah istilah yang paling TEPAT untuk mereka!

 

Jika di sesebuah organisasi, mereka boleh dikenali dengan banyak cara iaitu mereka selalu melakukan penghinaan peribadi, menakut-nakutkan orang bawahan dengan cara membuat ancaman atau ugutan, baik secara lisan mahupun bukan lisan, menyerang ruang peribadi seseorang, menatap mereka secara agresif atau mengabaikan mereka seolah-olah mereka tidak pernah wujud sama sekali.

 

Setiap kali, jika mangsa berinteraksi dengan pelaku, pelaku akan membuatkan mangsa  berasa tidak cekap dan tidak mampu melaksanakan atau melakukan tugasan yang diberikan dengan baik

 

Kebiasaannya pelaku dengan jayanya menyembunyikan tingkah laku mereka dengan bermuka-muka seperti memberikan layanan yang baik, penuh sopan dan hormat apabila melayan pihak atasan.

 

Pihak atasan akan terpedaya dengan lakonan pelaku dan akan menganggap pelaku sebagai pekerja yang bagus dan mampu mentadbir urus dengan baik. Apabila ini berlaku ia menyebabkan aduan mangsa diabaikan kerana mereka berjaya menyembunyikan tingkah laku buruk mereka.


 

Eksponen

 


Toksik Terhadap Organisasi

Di setiap organisasi, orang seperti ini (merujuk kepada pelaku) sudah tentu mempunyai tempat mereka. Ini kerana mereka pandai berlakon serta bermuka-muka di sebalik jawatan yang disandang.

 

Walaupun mereka berjawatan tinggi dan mempunyai kuasa besar, kewujudan mereka di sesebuah organisasi tidak boleh diabaikan.

 

Ini kerana, jika kewujudan mereka diabaikan. Ia bakal memberi kesan buruk terhadap sesebuah organisasi, sebagai contoh, ia akan menyebabkan pusing ganti pekerja yang lebih tinggi kerana ramai pekerja cenderung untuk meninggalkan organisasi dengan lebih cepat apabila ia dipenuhi oleh pembuli.

 

Ketidakhadiran dalam kalangan pekerja juga akan meningkat disebabkan persekitaran kerja yang toksik – memenatkan mental dan fizikal pekerja dan menyebabkan mereka benar-benar jatuh sakit.

 

Tidak terhad dengan itu, komitmen terhadap kerja juga secara automatik akan berkurangan.

 

Kesan yang dinyatakan di atas akan menyebabkan organisasi menanggung kerugian seperti peningkatan kos secara langsung dan tidak langsung, kehilangan modal insan yang berbakat dan juga boleh menyebabkan prestasi organisasi secara keseluruhan merudum secara perlahan-lahan.

 

Menangani Mereka Secara Kejam

Berdoa tidak akan membuatkan mereka pergi mahupun berhenti dari sesebuah organisasi. Oleh itu sesuatu harus dilakukan supaya kewujudan mereka tidak menjadi penyakit atau barah terhadap sesebuah organisasi.

 

Pihak atasan perlu memainkan peranan bagi memastikan orang seperti ini dipanggil serta diberi amaran – dinasihatkan supaya mengubah perangai dan tingkah laku toksik mereka.


 

Eksponen

 


Jika mereka degil (masih tidak insaf),  pihak atasan perlu berlaku kejam! Buang sahaja mereka dari organisasi. Ini adalah jalan terakhir yang dilihat paling terbaik kerana kewujudan mereka dalam tempoh masa yang panjang boleh menjangkiti seluruh individu dalam organisasi.

 

Memetik kata pepatah "Berbaring dengan anjing dan anda akan bangun bersama dengan kutu". Pepatah ini membawa maksud – apabila terlalu ramai pembuli yang menyalahguna kuasa, menganiaya dan menjatuhkan orang lain, lama kelamaan ia bakal menghapuskan suasana yang harmoni yang wujud sebelumnya.

 

Oleh itu, suka atau tidak, walaupun dilihat kejam. Membuang mereka secepat yang boleh adalah tindakan tepat yang perlu dilakukan sebelum lebih banyak mengundang mudarat pada masa hadapan. Dengan ketiadaan mereka barulah sebuah organisasi dapat ditadbir dan diuruskan dengan baik.

 

Untuk mengelakkan perkara ini berlaku pada masa hadapan, pihak organisasi boleh memperkenalkan peraturan “TIADA ASSHOLE” dengan menyaring calon semasa proses pengambilan pekerja, memanggil mereka semasa penilaian prestasi dijalankan dan tidak mempromosikan mereka ke jawatan kepimpinan untuk mengelakkan salah guna kuasa (anggap mereka sebagai pekerja yang tidak kompeten!).

 

Peraturan “Tiada Asshole”

Buat kita semua (yang waras dan normal), mengelakkan orang seperti ini sepanjang masa adalah mustahil dan kelihatan sukar.

 

Oleh itu, jalan yang paling mudah perlu diambil dengan menjauhkan diri baik secara emosi dan fizikal daripada mereka. Anggap bahawa mereka adalah punca kepada segala masalah.


 

Eksponen

 


Gunakan peraturan “TIADA ASSHOLE” dalam kehidupan seharian dan gunakannya sepanjang masa.

 

Hidup ini terlalu singkat untuk berhadapan dengan asshole!

 

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN

Portfolio Tags