IJM Land, SWM Environment galak amalan kitar semula dalam kalangan pelajar | DagangNews Skip to main content

IJM Land, SWM Environment galak amalan kitar semula dalam kalangan pelajar

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Nov - Pencemaran alam sekitar semakin menjadi kebimbangan global kerana pencemaran yang tidak diatasi menimbulkan pelbagai isu yang memudaratkan. 

 

Untuk menangani masalah ini, IJM Land Berhad (IJM Land) bersama SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) bertekad untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemeliharaan alam sekitar sambil menggalakkan tabiat kitar semula dalam kalangan generasi muda dengan bekerjasama dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tung Hua, S2 Heights, Seremban, Negeri Sembilan.

 

Dengan misi untuk menyediakan persekitaran hidup yang lebih hijau dan kondusif untuk semua, program KITARecycle IJM Land menyaksikan penglibatan seramai 1,028 orang pelajar dari sekolah tersebut. 

 

Pengurus Besar Kanan IJM Land Berhad, Chai Kian Soon berkata, pemaju hartanah terkemuka ini tekad berdedikasi untuk melindungi alam sekitar. 

 

Beliau berkata, IJM Land mengambil kesempatan ini untuk menyemai tabiat kitar semula dalam kalangan masyarakat dengan memastikan semua pihak memainkan peranan masing-masing untuk memelihara persekitaran supaya menjadi lebih hijau.

 

“Kami ingin menekankan tabiat kitar semula di sekolah bagi memastikan generasi muda memahami kesan pembuangan sisa yang tidak betul dan sambil menggalakkan penyertaan mereka dalam kempen ini. 

 

"Kami berazam untuk membawa perubahan positif kepada alam semula jadi, dan dengan setiap langkah usaha kami untuk meningkatkan kehijauan alam sekitar, kami berharap untuk mendapatkan penglibatan komuniti kami," kata Chai.

 

 

ijmland

 

 

Guru Besar SJKC Tung Hua, Choo Leong Ei pula berkata, mereka amat gembira kerana dapat bekerjasama dengan IJM Land dalam kempen ini kerana ia dapat membantu golongan kanak-kanak meningkatkan pengetahuan dan lebih peka kepada isu-isu alam sekitar. 

 

"Kita semua bertanggungjawab tentang pemeliharaan alam sekitar dan tabiat hijau perlu dipupuk dalam kalangan anak-anak kita sejak kecil lagi. Mereka mewakili masa depan, dan merekalah yang akan kita harapkan untuk membawa perubahan positif demi manfaat semua," katanya.

 

Usaha berterusan program KITARecycle IJM Land telah dimulakan pada Januari 2022 untuk membudayakan amalan kitar semula dalam masyarakat Seremban 2. 

 

 

ijmland
Chai Kian Soon (tengah) bersama Pengurus Kawasan Perkhidmatan SWM Environment Negeri Sembilan, Mohd Shukri Mat Sudin (kanan) menyampaikan 'rumah KITARecycle' kepada Choo Leong Ei untuk memupuk amalan kelestarian dalam kalangan pelajar SJKC Tung Hua.

 

 

Selain menggalakkan 3R (reduce, reuse, recycle) dalam kalangan pelajar sekolah, inisiatif kerjasama alam sekitar antara IJM Land dan SWM Environment diharap dapat mengaplikasikan tabiat kitar semula di dalam kehidupan para penduduk. 

 

Selain menyumbangkan 12 buah 'rumah KITARecycle' yang dibuat khas sebagai tong kitar semula di kawasan perumahan berpagar dan berpengawal di Seremban 2, IJM Land akan menyumbang dua buah lagi ‘rumah KITARecycle’ (tong kitar semula) kepada Persatuan Penduduk Serena & Safiya dan Pearl 132 masing-masing pada bulan akhir November.

 

“Kami berharap untuk mengamalkan tabiat kitar semula bersama-sama dengan komuniti kami dengan menyediakan lebih banyak kemudahan khas untuk menggalakkan penduduk menyesuaikan diri dengan pengasingan dan pengitaran semula sisa domestik atau sisa pepejal isi rumah mereka supaya mengurangkan pembuangan sisa pepejal ke tapak pelupusan,” kata Chai. - DagangNews.com