IJM raih 2 kontrak di Kapar dan Shah Alam berjumlah RM982 juta | DagangNews Skip to main content

IJM raih 2 kontrak di Kapar dan Shah Alam berjumlah RM982 juta

KUALA LUMPUR 18 Okt - IJM Corporation Bhd IJM menerusi anak syarikat milik penuhnya, IJM Construction Sdn Bhd (IJMC) meraih dua kontrak di Kapar dan Shah Alam minggu ini, berjumlah RM982 juta.

 

IJMC memperoleh kontrak pembinaan reka bentuk dan bina pasang siap (turnkey) bernilai RM831 juta untuk hospital baharu kerajaan dengan 312 katil di Kapar daripada Kementerian Kerja Raya, kata IJM Corp.

 

Kerja-kerja pembinaan hospital dengan kemudahan perubatan pakar itu dijadualkan bermula bulan ini dan dijangka siap dalam tempoh 48 bulan, menjelang November 2026.

 

“Skop kerja IJMC di bawah kontrak termasuk kerja tanah dan rawatan tanah, kerja cerucuk dan asas, reka bentuk dalaman untuk kawasan utama di hospital, perkhidmatan mekanikal dan elektrik termasuk peralatan perubatan berkaitan, kerja maklumat dan teknologi, kerja luaran dan infrastruktur, kerja-kerja peningkatan alam sekitar dan perlindungan, kerja-kerja penyelenggaraan dan pembinaan 120 unit kuarters kakitangan,” kata IJM Corp dalam satu kenyataan.

 

Projek itu adalah usaha sama 60:40 antara IJMC dan Ganda Imbuhan Sdn Bhd.

 

Satu lagi kontrak yang dimenangi oleh IJMC adalah untuk pembinaan menara pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri di Shah Alam, bernilai RM150.8 juta.

 

Projek itu dijadualkan bermula pada 1 Nov tahun ini, yang akan disiapkan dalam tempoh 36 bulan menjelang 31 Okt 2025.

 

Saham IJM Corp ditutup naik tiga sen atau 1.97% kepada RM1.55 pada hari ini, diterjemahkan kepada permodalan pasaran RM5.65 bilion. Ia menyaksikan kira-kira 3.39 juta saham bertukar tangan. - DagangNews.com