Inflasi makanan dijangka menurun beberapa bulan akan datang | DagangNews Skip to main content

Inflasi makanan dijangka menurun beberapa bulan akan datang

Harga minyak masak menurun sejajar dengan harga minyak sawit mentah yang mula mencatat penurunan. - Gambar ihsan FGV
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 4 Okt - MIDF Research menjangkakan kenaikan harga lebih perlahan menjelang 2023 di tengah-tengah bekalan makanan yang lebih baik, harga komoditi lebih rendah dan pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

Ini membolehkan firma itu mengunjurkan inflasi utama berlegar pada 2.3% pada tahun hadapan.

 

Malah, menurutnya, inflasi makanan di Malaysia dijangka berkurangan sedikit dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

 

"Bagaimanapun, penyusutan ringgit akan terus melebarkan harga import makanan di Malaysia memandangkan negara merupakan pengimport bersih makanan.

 

"Tetapi, secara keseluruhan, kami menjangkakan inflasi utama akan berlegar 3% tahun ini, yang relatifnya adalah stabil dalam kalangan negara serantau, yang antara lain diimbangi harga bahan api runcit bersubsidi," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan harga minyak masak tulen kemasan botol lima kilogram (kg) diturunkan sebanyak RM2 lagi kepada RM31.50 berbanding RM33.50 bermula 8 Oktober hingga 7 November ini.

 

Harga baharu itu ditetapkan susulan harga purata minyak sawit mentah yang merekodkan penurunan.

 

Selain itu, harga baharu minyak masak tulen kemasan botol tiga kg turun kepada RM19.90 daripada RM21.10; botol dua kg (RM13.50 daripada RM14.30); dan botol satu kg (RM7.10 daripada RM7.50).

 

MIDF Research menyifatkan penurunan berterusan harga siling minyak masak sawit dalam botol mencerminkan kesan positif pembetulan sederhana dalam harga komoditi global.

 

"Berikutan penyambungan semula eksport bijirin dari Ukraine, inflasi makanan global menunjukkan trend yang sederhana sejak Julai 2022," jelasnya. - DagangNews.com