Inisiatif karbon jadi tumpuan utama pada Persidangan Karbon Asia 2023 di Kuching 15-16 Mac 2023 | DagangNews Skip to main content

Inisiatif karbon jadi tumpuan utama pada Persidangan Karbon Asia 2023 di Kuching 15-16 Mac 2023

Dr. Hazland Abang Hipni (dua dari kiri) pada majlis pengumuman Persidangan Karbon Asia 2023 (ACC2023) pada 15-16 Mac 2023, di Kuching hari ini. - Gambar UKAS
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUCHING 27 Feb – Kerajaan Negeri Sarawak yang menyasarkan untuk menempatkan negeri ini di barisan hadapan dalam melaksanakan mitigasi perubahan iklim, mengorak langkah positif dengan penganjuran Persidangan Karbon Asia 2023 (ACC2023), persidangan peneraju industri pertama bagi mengatasi dan perdagangan karbon di Asia.

 

Dianjurkan oleh Argus Media dengan kolaborasi Bersama Kerajaan Sarawak dan penaja Bersama Samling Group dan disokong oleh Business Events Sarawak dan Petroleum Sarawak Berhad, acara ACC2023 akan berlangsung 15-16 Mac 2023 di Pullman Hotel di Kuching, Sarawak.

 

Persidangan ini adalah ideal bagi pendatang baharu industri sehingga ke peneraju pasaran yang mana para peserta berpeluang untuk berinteraksi, belajar dan menjalin rangkaian dengan pakar-pakar mengenai kaedah menangani karbon.

 

Bukan seperti persidangan tradisional, acara ini juga menghubungkan pemain industri, pakar industri serta rakan kongsi swasta dan awam, dan menerangkan keperluan penting untuk melibatkan diri dan bekerjasama bagi menyumbang kepada pasaran karbon.

 

Persidangan ini juga selaras dengan komitmen negeri Sarawak untuk mencapai pelepasan sifar bersih dan memacu ekonomi hijau.

 

Malah, Sarawak adalah negeri pertama di Malaysia yang menggubal perundangan membenarkan perniagaan teroka karbon dan alam semula jadi, menunjukkan usaha Negeri untuk berada di barisan hadapan dalam mitigasi perubahan iklim.

 

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr. Hazland Abang Hipni berkata, adalah berguna untuk mempelajari pandangan daripada pakar terkemuka mengenai hala tuju masa depan pasaran karbon Asia dan kesan ke atas pasaran karbon global.

 

"Diharap idea dan amalan terbaik yang dikongsi pada persidangan ini dapat disesuaikan untuk Sarawak,” kata beliau pada majlis mengumumkan persidangan itu di sini hari ini.

 

Dalam kenyataan media, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Samling, Lawrence Chia berkata, “Samling Timber menyokong penuh pandangan jauh dan komitmen Kerajaan Negeri Sarawak untuk mengurangkan kesan pelepasan karbon, memudahkan pemuliharaan dan pemeliharaan hutan kita sambil membangunkan aliran hasil baharu melalui perdagangan karbon, penyimpanan karbon dan tenaga boleh diperbaharui.”

 

 

Lawrence Chia

 

 

“Sebagai pemain utama dalam industri perkayuan, kami percaya kami bertanggungjawab untuk memacu perbualan dan memberi inspirasi kepada tindakan. ACC2023 menyediakan platform yang ideal, menghimpunkan pemegang kepentingan antarabangsa dan tempatan di bawah satu bumbung.”

 

“Keterukan darurat iklim memerlukan kita untuk menggunakan setiap alat berkualiti tinggi yang boleh digunakan. Dalam industri perkayuan, bekalan kayu asli yang semakin berkurangan bermakna kita kini perlu memberi keutamaan kepada pemuliharaan dan pemeliharaan serta bergerak ke arah sumber hasil yang lebih mampan.”

 

“Kami percaya pembiayaan kredit karbon mempunyai potensi untuk syarikat perkayuan dan industri lain mengubah operasi mereka dan memacu sumber pendapatan yang mampan," kata beliau.

 

Menurutnya, didorong oleh peningkatan permintaan daripada industri dan syarikat yang ingin mengimbangi pelepasan karbon, persidangan ini bertujuan untuk memberikan pandangan tentang pertumbuhan pasaran karbon dan memastikan pertumbuhan ini diuruskan secara bertanggungjawab dalam mencapai matlamat bersih-sifar.

 

Persidangan dua hari itu, yang akan dirasmikan oleh Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg, Premier Sarawak, akan menampilkan pakar-pakar global dari Malaysia, Indonesia dan Singapura, yang akan berkongsi pandangan mengenai rangka kerja kawal selia pasaran karbon serta masa depan pasaran karbon Asia Pasifik.

 

Francois Blignaut, Ketua Projek Karbon Kumpulan Samling akan menjadi penceramah pada sesi bertajuk "Kajian kes: membongkar proses pembangunan dan pelancaran projek VCO berasaskan alam di Asia".

 

Lawat laman web untuk mendaftar menyertai Persidangan Karbon Asia 2023 atau pertanyaan lanjut. - DagangNews.com