Jalan penghubung Lebuhraya Persisiran Pantai Barat WCE Perak-Selangor dibuka hari ini  | DagangNews Skip to main content

Jalan penghubung Lebuhraya Persisiran Pantai Barat WCE Perak-Selangor dibuka hari ini 

Sebahagian daripada pembinaan laluan Seksyen 11 WCE yang masih dalam pembinaan.
oleh ZAKI SALLEH

IPOH  22 Dis - Jalan penghubung ke Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) Teluk Intan - Hutan Melintang dari Jambatan Sultan Yusof di Batu 5, Teluk Intan dibuka hari ini.

 

Laluan tersebut boleh dilalui semua kenderaan bermula pukul 11 pagi tadi.

 

Jabatan Kerja Raya (JKR) Manjung menerusi hantaran dalam laman Facebook memaklumkan,
ia melibatkan laluan Jalan Persekutuan FT005 dari jambatan itu ke laluan WCE yang menghubungkan Perak - Selangor.


 

WCE
Projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun hadapan.

 


Menerusi kenyataan itu, pengguna jalan raya diminta berhati-hati serta mengikut had laju yang ditetapkan dan mematuhi arahan papan tanda.

 

Pembukaan laluan ini dapat mengurangkan masalah kesesakan khususnya dari arah utara dan Manjung ke Selangor tanpa perlu melalui persimpangan lampu isyarat.

 

Kenderaan dari Selangor boleh terus menuju ke Beruas menggunakan WCE dengan masa perjalanan kira-kira sejam berbanding dua jam ketika ini menggunakan laluan sedia ada.

 

Ketika ini, tiga daripada empat seksyen WCE bagi jajaran Perak sudah siap sepenuhnya iaitu laluan Hutan Melintang-Teluk Intan (Seksyen 8), Lekir-Changkat Cermin (Seksyen 9) dan  Changkat Cermin-Beruas (Seksyen 10).


 

WCE

 


Laluan Seksyen 11 iaitu Beruas-Taiping Selatan/Changkat Jering pula masih dalam pembinaan dan dijangka siap akhir tahun depan.

 

Seksyen 11 menjadi tumpuan utama kerana bersambung ke Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) melalui Plaza Tol Changkat Jering. - DagangNews.com