Jawatan menantu TPM ditetapkan semula sebagai Presiden Jiankun berkuat kuasa hari ini | DagangNews Skip to main content

Jawatan menantu TPM ditetapkan semula sebagai Presiden Jiankun berkuat kuasa hari ini

Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 5 Dis - Jiankun International Bhd. menetapkan semula jawatan Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff sebagai Presiden Eksekutif berkuat kuasa hari ini. 

 

Saiful Nizam, 52, sebelum itu merupakan Timbalan Pengerusi Eksekutif Jiankun, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Menantu kepada Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang baru dilantik, memegang 21 juta saham atau 8.58% pegangan dalam syarikat tersebut.


 

Dalam laporan media semalam, seorang penganalisis berkata, Saiful ialah antara individu utama yang membolehkan Jiankun memperoleh projek pembangunan bernilai RM1.2 bilion di Kampung Baru, Kuala Lumpur, di sepanjang Jalan Tun Razak, yang diumumkan sebelum ini di laman web Bursa Malaysia.

 

Menurut pakar industri, projek premium seumpama itu di Daerah Pusat Perniagaan (CBD) Kuala Lumpur sepatutnya menjana pulangan sekurang-kurangnya RM400 juta kepada Jiankun.

 

Beliau menyertai Jiankun sebagai pengarah bebas bukan eksekutif pada April tahun lalu.
 

 

Baca : Harga saham Jiankun, PEnergy, RL dijangka menyusuli MQTech, SMTrack, ASB - kaunter dikaitkan dengan Zahid Hamidi

 

Selain Jiankun, saham yang turut dikaitkan dengan Zahid Hamidi turut mencuri perhatian pelabur ialah MQ Technology Bhd. (MQTech) dan SM Technology Bhd (SMTrack).

 

Anak perempuan Ahmad Zahid iaitu Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid ialah Pengarah dan Naib Pengerusi MQTech, manakala Saiful Nizam adalah Ahli Lembaga Pengarah Jiankun dan SMTrack.

 

Setakat 2.51 petang ini, harga saham Jiankun menokok 2 sen atau 7.69% kepada 28 sen dengan 34.67 juta saham diniagakan. 

 

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai TPM.  - DagangNews.com