Jualan ekuiti pelabur asing meningkat lebih 3 kali ganda kepada RM168.5 juta - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Jualan ekuiti pelabur asing meningkat lebih 3 kali ganda kepada RM168.5 juta - MIDF Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Jan - Pelabur asing terus menjual ekuiti tempatan pada minggu lalu, meningkat lebih tiga kali ganda kepada RM168.5 juta berbanding minggu berakhir 13 Januari. 

 

Laporan dana mingguan MIDF Research mendapati jualan ekuiti paling tinggi direkodkan pada Rabu, iaitu sehari sebelum mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM). 

 

Pada minggu lalu, bank pusat membuat keputusan mengejutkan dengan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75% dalam mesyuarat pertamanya untuk 2023.

 

"Namun, penganalisis kami percaya kadar ini akan dinaikkan lagi 25 mata asas dalam mesyuaratnya pada Mac memandangkan kadar inflasi teras masih kekal tinggi. 

 

"Setakat ini, pelabur asing telah menjual sebanyak RM142.9 juta ekuiti tempatan," katanya dalam laporan itu hari ini.

 

Sektor perkhidmatan kewangan merekodkan aliran keluar paling tinggi sebanyak RM272.4 juta diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (RM9.9 juta) serta pengangkutan dan logistik (RM2.4 juta).

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan kekal menjadi pembeli bersih ekuiti bagi minggu kedua berturut-turut sebanyak RM391.6 juta. 

 

"Mereka merekodkan pembelian ekuiti setiap hari kecuali Selasa yang mencatat aliran keluar sebanyak RM64.3 juta. 

 

"Pelabur asing setakat ini sudah merekodkan pembelian ekuiti tempatan sebanyak RM606.5 juta," katanya.

 

Sebaliknya, pelabur runcit pula menjual sebanyak RM223.1 juta ekuiti pada minggu lalu, lebih rendah berbanding jualan RM292.6 juta yang direkodkan pada minggu sebelumnya. 

 

Pelabur runcit menjual ekuiti setiap hari dengan aliran keluar paling tinggi direkodkan pada Jumaat sebanyak RM79.1 juta. 

 

"Ini mungkin disebabkan aktiviti pembelian untung menjelangnya sambutan Tahun Baharu Cina. Mereka setakat tahun ini telah menjual RM463.6 juta ekuiti tempatan," jelasnya.

 

MIDF Research mendapati, dari segi pergerakan pelabur, volum dagangan purata harian (ADTV) pelabur runcit, institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing menurun 10.5%, 10.3% dan 11.9% bagi minggu berakhir 20 Januari 2023," katanya. - DagangNews.com