Kadar tol enam lebuh raya diturunkan - tanda prihatin terhadap kos sara hidup rakyat, kata PM | DagangNews Skip to main content

Kadar tol enam lebuh raya diturunkan - tanda prihatin terhadap kos sara hidup rakyat, kata PM

Oleh JOHARDY IBRAHIM

SHAH ALAM 13 Okt - Kerajaan menurunkan kadar tol empat lebuh raya berkuat kuasa 20 Oktober ini iaitu Lebuhraya Bertingkat Ampang – Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning – Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK) di bawah kendalian PROLINTAS.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kadar tol bagi dua lagi lebuh raya ialah Lebuhraya Kajang–Seremban (Lekas) dan Besraya di bawah Kumpulan IJM Corporation akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023.

 

"Sebagai menandakan keprihatinan terhadap masalah rakyat yang berdepan masalah kenaikan kos sara hidup, kerajaan bersetuju dengan cadangan untuk penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya bertol di bawah kendalian PROLINTAS dan mengurangkan kadar tol bagi lebuh raya terbabit.

 

"Ia akan berkuat kuasa pada jam 12.01 tengah malam 20 Oktober 2022," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), hari ini.

 

 

PM

 

 

Selain itu kata Perdana Menteri, dalam usaha menampung trafik yang tinggi serta menangani masalah kesesakan lalulintas di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dari Tol Plaza Gombak ke Tol Plaza Bentong, Kerajaan akan membina lorong tambahan dan satu terowong baharu di Genting Sempah.

 

Pada masa yang sama ujar beliau, kerja-kerja tebatan banjir di lebuhraya LPT1 juga akan dilaksanakan susulan daripada kejadian banjir yang seringkali berlaku di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1).

 

"Kesemua kerja-kerja penambahbaikan yang telah saya maklumkan sebentar tadi, mengambil kira penstrukturan semula kadar tol dengan perjanjian konsesi tambahan
sedang dimuktamadkan.

 

 

PM

 

 

"Melalui penstrukturan terbaharu ini, Kerajaan telah menjimatkan sebanyak RM8.8 bilion anggaran dalam bentuk pampasan yang sepatutnya dibayar kepada syarikat
konsesi yang terlibat.

 

"Pengguna lebuh raya bakal pula dapat menikmati kadar tol yang lebih rendah sekali gus dapat meringankan beban kos sara hidup," kata Perdana Menteri. - DagangNews.com