Kemas peruntuk RM1 juta laksana program Pintar Botani di Tabika Kemas bermula 2023 | DagangNews Skip to main content

Kemas peruntuk RM1 juta laksana program Pintar Botani di Tabika Kemas bermula 2023

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

TANJUNG MALIM 3 Okt - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) memperuntukkan RM1 juta bagi melaksanakan program Pintar Botani melibatkan 500 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Kemas di seluruh negara mulai 2023.

 

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Modul Pintar Botani itu adalah aktiviti luar bilik darjah yang menerapkan aspek Sains dan Teknologi serta Amalan Gaya Hidup Sihat melalui makanan seimbang dan berkhasiat. 

 

“Program ini adalah aktiviti mengindahkan persekitaran Tabika Kemas dengan mendidik kanak-kanak menanam pokok sayur-sayuran serta buah-buahan dan hasil tuaiannya boleh dimasukkan dalam menu makanan yang disediakan oleh pembantu Pemaju Masyarakat Sukarelawan. 

 

"Ia sekali gus menjadi usaha Kemas untuk memastikan kanak-kanak mendapat zat makanan yang seimbang agar tahap kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak yang lebih baik selain meraih pengalaman yang menyeronokkan sepanjang belajar di Tabika Kemas," katanya selepas merasmikan Program Hari Potensi Kemas Peringkat Kebangsaan 2022 Edisi ke-17 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), semalam.

 

Mahdzir berkata, aktiviti di luar bilik darjah menerusi Modul Pintar Botani itu juga akan membantu pembentukan pemikiran kreatif dan sifat bekerjasama dalam kalangan kanak-kanak.

 

kplb

 

"Program Pintar Botani ini bukan sahaja dapat mengoptimumkan tanah dan menceriakan kawasan malah menjadikan persekitaran Tabika Kemas lebih menarik dengan penyediaan landskap serta tumbuhan hijau seperti sayur-sayuran dan pokok buah-buahan yang akan ditanam."

 

Pada masa sama, beliau berharap Program Pintar Botani itu mendapat sokongan dan juga kerjasama para ibubapa dan juga penduduk sekitar premis Tabika Kemas.

 

kplb

 

“Penglibatan program Pintar Botani ini berkonsepkan Keluarga Malaysia melalui penglibatan  pelbagai pihak seperti  Jawatankuasa Aktiviti Tabika, ibu bapa dan penduduk setempat, agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, MARDI, Kementerian Kesihatan dan termasuklah Badan Bukan Kerajaan (NGO)", katanya.

 

Selain itu tambah Mahdzir, program Pintar Botani itu juga akan membolehkan Pemaju Masyarakat Tabika Kemas memberi pendedahan asas keusahawanan melalui aktiviti jual beli hasil tanaman.

 

kplb

 

Sementara itu, seramai 1,000 kanak-kanak Tabika dari seluruh negara menyertai Hari Potensi Kemas membabitkan pertandingan pelbagai acara sukan melibatkan kanak-kanak seawal usia lima dan enam tahun.

 

Antara acara yang dipertandingkan termasuk futsal, bola jaring, gerak kreatif, rounders dan pelbagai lagi dengan format pertandingan mengikut negeri-negeri. - DagangNews.com