Kemudahan simpanan bahan api boleh diperbaharui Dialog selaras dengan inisiatif ESG - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Kemudahan simpanan bahan api boleh diperbaharui Dialog selaras dengan inisiatif ESG - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Mac - Selaras dengan inisiatif amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), Dialog Group Berhad mengembangkan kemudahan penyimpanannya untuk bahan mentah dan bahan api boleh diperbaharui dalam Dialog Terminals Langsat (3) Sdn. Bhd yang akan mula beroperasi pada 2024.

 

MIDF Research berkata, tangki simpanan 24,000 meter padu itu dikhaskan untuk bahan api boleh diperbaharui termasuk minyak terpakai, tallow, efluen dan biodiesel.

 

Firma itu berkata, pembangunan itu juga dihubungkan dengan ruang pemunggahan trak dan kemudahan marin sedia ada.

 

"Pembangunan itu memberi gambaran usaha pertama kumpulan itu ke dalam operasi penyimpanan produk bahan api boleh diperbaharui.

 

"Ini sejajar dengan minat pelabur yang semakin meningkat dalam alternatif bahan api rendah karbon.

 

"Bagi menyokong agenda ESG dan Strategi Perubahan Iklim kumpulan, usaha niaga ini akan memberi perkhidmatan kepada syarikat pengeluaran biofuel, rumah perdagangan tenaga dan syarikat tenaga multinasional," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, perkembangan itu mewujudkan peluang untuk kumpulan itu meneroka integrasi dan kerjasama bahan api boleh diperbaharui dan konvensional.

 

"Kami percaya ini adalah langkah yang betul dalam memulakan peralihan tenaga yang bersih dan teratur yang berpotensi membantu dalam panggilan untuk keselamatan tenaga yang lebih baik di peringkat tempatan dan serantau dalam jangka panjang

 

"Pengembangan kumpulan untuk bahan api boleh diperbaharui dan potensi integrasi antara bahan api boleh diperbaharui dan konvensional dipercayai sebagai langkah tepat untuk bergerak ke hadapan untuk memperbaharui peralihan tenaga untuk industri minyak dan gas," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.28 sesaham. - DagangNews.com