Kenanga Research positif terhadap pelan perkembangan tenaga boleh diperbaharui TNB | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research positif terhadap pelan perkembangan tenaga boleh diperbaharui TNB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Okt - Kenanga Research positif terhadap pelan perkembangan tenaga boleh diperbaharui Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan komitmen mereka untuk bebas penggunaan arang menjelang 2050 selain usaha mereka menangani kebimbangan amalan alam sekitar, sosial dan urus tadbir (ESG) yang menjejaskan saham mereka sejak beberapa tahun lalu.

 

Firma itu juga optimis dengan daya tahan pendapatan kumpulan itu kerana pemulihan kos bahan api yang semakin meningkat akhirnya akan dipulihkan di bawah rangka kerja Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

 

"Bagaimanapun, kami mengekalkan penarafan ESG 2 bintang kerana loji Kapar baharu tidak banyak mengubah portfolio loji janakuasa tenaga, dengan aset arang batu yang berkesan dikurangkan sebanyak 11.5% atau 884MW sahaja daripada 7,678MW pada masa ini.

 

"Kami juga mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM10.70," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: TNB labur RM5.8 bilion bagi menaik taraf Stesen Janakuasa Sungai Perak

 

BACA JUGA: Widad, TNB terima LOI daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli bangunkan CCGT di Kapar

 

Terdahulu, TNB melalui anak syarikat milik penuhnya, TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco), telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi melaksanakan program Pelanjutan Hayat Hidro enam stesen di SSJ Sungai Perak dengan pelaburan RM5.8 bilion mulai tahun ini.

 

Selain itu, TNB dan Widad Business Group Sdn. Bhd. telah memperoleh surat hasrat (LOI) daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli untuk pembangunan loji turbin gas kitaran gabungan (CCGT).

 

Projek itu yang akan dibangunkan di tanah milik TNB di Kapar, Selangor melibatkan pembangunan CCGT 2,100 megawatt dengan tarikh operasi komersial dijangka bermula pada 2031.

 

Firma itu berkata, kedua-dua aset itu dijangka menggantikan dua lagi aset sedia ada, iaitu PPA sedia ada Loji Hidroelektrik Sungai Perak dengan kapasiti 649.10MW yang telah dilanjutkan selama lima tahun sehingga Ogos 2027 manakala PPA untuk KEV Coal U3-U6 (1,474MW) akan tamat tempoh pada 2029.

 

Katanya, walaupun impak kepada pendapatan tidak ketara, ini adalah langkah yang baik terutamanya untuk loji Kapar baharu kerana KEV merupakan loji yang bermasalah kerana keupayaan penyalaan bahan api tiga kali ganda (arang batu, gas dan minyak) penuh dengan isu teknikal.

 

"Aset baharu ini akan menghapuskan komponen bahan api arang batu yang tidak diingini dan pada masa yang sama berpotensi untuk mengubahnya menjadi aset teknologi hijau dan akan membantu meningkatkan penarafan ESG TNB pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com