Kerajaan perhalusi langkah bantu pengusaha restoran, saran guna tenaga kerja sambilan - Rafizi | DagangNews Skip to main content

Kerajaan perhalusi langkah bantu pengusaha restoran, saran guna tenaga kerja sambilan - Rafizi

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Jan - Kerajaan sedang memperhalusi beberapa langkah pelaksanaan termasuk potensi menyebarluas model tenaga kerja sambilan dalam sektor makanan dan minuman (F&B) untuk membantu peniaga serta pengusaha restoran menangani kenaikan kos yang ditanggung.

 

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ia sebahagian daripada usaha untuk menyelaraskan pasaran kerja dengan tuntutan sektor ekonomi, yang mana merupakan usaha menyeluruh menstrukturkan kembali ekonomi negara.

 

Katanya, beliau sedia maklum beberapa cabaran pengusaha restoran yang berdepan dengan kenaikan kos lain, seperti kos pekerja akibat pelaksanaan gaji minimum RM1,500.

 

"Dalam masa terdekat ini, saya akan bertemu dengan wakil-wakil pengusaha restoran dan peniaga makanan untuk membincangkan secara dua hala langkah-langkah yang boleh diambil bersama kerajaan dan pengusaha restoran dan peniaga makanan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dalam pada itu, Rafizi menyambut baik pandangan Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Datuk Jawahar Ali Taib Khan mengenai peranan perlu dimainkan oleh kerajaan, peniaga dan pengguna dalam menangani kenaikan harga makanan dan minuman yang dinyatakan di dalam program Dialog Tiga Penjuru AWANI, semalam.

 

Menurutnya, seperti perangkaan inflasi yang diumumkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) baru-baru ini, walaupun inflasi bagi Disember 2022 mereda kepada 3.8% berbanding 4% bulan sebelumnya, kategori harga di restoran dan hotel adalah satu-satunya kategori harga yang masih belum mereda (iaitu kenaikan 7.4% pada Disember 2022 berbanding 7 % bulan sebelumnya).

 

Katanya, pandangan Jawahar selari dengan kerajaan supaya pengguna peka kepada kenaikan harga makanan dan minuman yang dibeli dan bijak memilih kedai serta restoran menawarkan harga lebih baik berbanding pesaing-pesaing.

 

 

rafizi
                                                                  Rafizi Ramli

 

 

Tambah beliau, usaha mengekang inflasi memerlukan semua pihak menggembleng usaha bersama.

 

"Sementara kita meningkatkan akses pengguna kepada maklumat harga yang boleh membantu pengguna membeli dari kedai yang harganya lebih seiring dengan harga purata setempat," katanya. - DagangNews.com