Kerjaya Prospek raih kontrak pembinaan bernilai RM135.4 juta | DagangNews Skip to main content

Kerjaya Prospek raih kontrak pembinaan bernilai RM135.4 juta

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 2 Feb - Kerjaya Prospek Group Bhd. menerusi anak syarikatnya, Kerjaya Bina BMK Sdn. Bhd, telah menerima surat anugerah (LOA) daripada BBCC Development Sdn. Bhd. bernilai RM135.4 juta.

 

Kontrak itu melibatkan kerja-kerja reka bentuk dan pembinaan bangunan utama untuk blok pangsapuri perkhidmatan 31 tingkat, tingkat bawah tanah dan podium yang terdiri daripada tujuh tingkat tempat letak kereta, lobi utama dan dewan serbaguna.

 

Kerja pembinaan ini adalah untuk cadangan projek pembangunan di Off Jalan Hang Tuah/Jalan Pudu, Kuala Lumpur yang dijangka bermula pada 1 Mac 2023 untuk tempoh 36 bulan.

 

BBCC Development adalah sebuah syarikat usaha sama yang ditubuhkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), UDA Holdings Bhd. dan Eco World Development Group Bhd.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kerjaya Prospek, Tee Eng Tiong berkata, perolehan kontrak baharu itu membuktikan rekod prestasi kumpulan yang mantap.

 

“Ini juga bukti keupayaan syarikat untuk menjamin dan menyampaikan kontrak secara konsisten daripada pelanggan di sebalik persekitaran makro yang mencabar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Eng Tiong menambah LOA tersebut adalah kontrak pertama kumpulan bagi tahun ini yang menyaksikan nilai kontraknya diperkukuh kepada RM4.3 bilion yang akan memberi pendapatan untuk lima tahun akan datang.

 

Sementara itu, dalam makluman di Bursa Malaysia, Kerjaya Prospek berkata, kontrak tersebut dijangka menambah aliran hasil syarikat untuk tiga tahun seterusnya.

 

Kontrak itu juga tidak akan memberi kesan kepada modal syer yang telah diterbitkan syarikat malah akan menyumbang secara positif terhadap perolehan dan aset bersih syarikat untuk tahun kewangan 2023 ke 2026.  – DagangNews.com