Kerugian bersih Ecofirst meningkat kepada RM4.1 juta pada suku kedua | DagangNews Skip to main content

Kerugian bersih Ecofirst meningkat kepada RM4.1 juta pada suku kedua

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Jan – Kerugian bersih Ecofirst Consolidated Bhd. bagi suku kedua berakhir 30 November 2022 melebar kepada RM4.1 juta daripada RM1.89 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Kerugian yang lebih tinggi bagi suku semasa itu disebabkan terutamanya oleh peningkatan dalam kos kewangan selepas tamat moratorium, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Bagi tempoh itu bagaimanapun pendapatan kumpulan meningkat 38% kepada RM5.07 juta berbanding RM3.67 juta.

 

Ini disumbangkan terutamanya pendapatan sewaan yang lebih tinggi daripada segmen pelaburan hartanah dan inventori jualan.

 

Untuk tempoh kumulatif berakhir 30 November 2022, kumpulan mencatat kerugian bersih sebanyak RM8.48 juta daripada RM3.99 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan meningkat kepada RM9.3 juta daripada RM6.39 juta. 

 

Mengenai prospek kumpulan, Ecofirst kekal optimis terhadap sektor hartanah bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2023 (FY23).

 

Menurutnya, dengan inisiatif strategik kumpulan untuk melancarkan projek hartanah baharu, ia yakin akan kembali kepada keuntungan dalam masa terdekat.

 

"Kumpulan menyasarkan untuk melancarkan projek Sungai Besi dalam FY23 dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM1 bilion.

 

"Oleh itu, kumpulan optimis mengenai prospek pelancaran pembangunan hartanah baharu memandangkan lokasinya yang strategik, harga menarik dengan produk dan ciri yang baik," katanya. - DagangNews.com