Ketidaktentuan dasar kerajaan akan jejaskan sektor pembinaan - Affin Hwang | DagangNews Skip to main content

Ketidaktentuan dasar kerajaan akan jejaskan sektor pembinaan - Affin Hwang

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Jan - Ketidaktentuan dasar kerajaan dalam pelaksanaan projek awam akan terus melemahkan sentimen terhadap sektor pembinaan. 

 

Affin Hwang Capital berkata, kerajaan sebelum ini menyatakan bahawa mereka akan mengkaji semula projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion yang sepatutnya diberikan melalui rundingan terus.

 

Firma itu mendapati beberapa projek infrastruktur mega lain yang masih belum dianugerahkan, seperti MRT Lembah Klang Laluan 3 (MRT3), juga sedang dikaji semula.

 

“Bagaimanapun, adalah positif bahawa kerajaan akan meneruskan projek yang sedang dijalankan seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

 

"Bagi lebuh raya bertol, kerajaan juga telah menandatangani perjanjian konsesi tambahan untuk penstrukturan semula lebuh raya Lekas dan Besraya IJM Corp berdasarkan terma yang dirundingkan dengan kerajaan terdahulu," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Firma itu berkata, kerajaan sedang mengkaji semula projek infrastruktur yang dirancang seperti MRT3 bagi mengurangkan kos, menyebabkan kelewatan dalam pemberian kontrak pembinaan.

 

Firma itu berkata pembentangan semula Bajet 2023 pada 24 Februari boleh memberi petunjuk mengenai pelaksanaan projek-projek ini dan yang akan diutamakan.

 

“Kami faham bahawa kerajaan persekutuan sedang berusaha untuk mengurangkan perbelanjaan keseluruhannya sebagai sebahagian daripada usaha untuk penyatuan fiskal.

 

“Terdapat juga penjimatan kos dengan menganugerahkan projek sektor awam melalui tender terbuka.

 

"Kami percaya kerajaan berkemungkinan akan mengekalkan anggaran perbelanjaan pembangunan pada RM85 bilion-RM90 bilion untuk 2023 bagi mencapai sasaran sebanyak RM400 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu selepas mengambil kira potensi kelewatan dalam pelaksanaan projek infrastruktur domestik utama.

 

"Pilihan utama kami ialah Sunway Construction Berhad dan AME Elite Consortium Berhad.

 

"Kedua-dua syarikat secara relatifnya kurang bergantung kepada projek sektor awam untuk menambah tempahan mereka dan mendapat manfaat daripada permintaan kukuh untuk hartanah perindustrian," katanya. - DagangNews.com