Kontraktor Malaysia berdepan tekanan jangka pendek akibat kenaikan harga keluli | DagangNews Skip to main content

Kontraktor Malaysia berdepan tekanan jangka pendek akibat kenaikan harga keluli

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Mac - Kontraktor di Malaysia akan berdepan tekanan jangka pendek berikutan kenaikan harga keluli yang dilihat menjejaskan margin keuntungan mereka.

 

MIDF Research berkata, kenaikan itu berpunca daripada paras harga biji besi yang tinggi dan ia dijangka menurun dalam beberapa bulan akan datang berikutan pembukaan semula sempadan China. 

 

"Kebanyakan syarikat di bawah liputan kami masih mampu mengekalkan margin keuntungan mereka walaupun terdapat sedikit peningkatan kecuali berlaku sebarang kenaikan luar jangka," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu menjangkakan, harga keluli akan kekal tinggi dalam beberapa bulan akan datang, sejajar dengan harga bijih besi yang merupakan bahan mentah utama bagi pembuatan keluli.

 

Katanya, Niaga Hadapan Bijih Besi Dalian Commodity Exchange (DCE) China meningkat 53.9% sejak 31 Oktober 2022 kepada 905 yuan (RM590.77) setiap 100 tan setakat semalam.

 

Firma itu berkata, Niaga Hadapan Bijih Besi SGX melonjak 70.7% dalam tempoh yang sama kepada SG$128.55 (RM429.67).

 

"Harga dijangka menurun selepas pihak berkuasa China mengambil tindakan untuk mengekang lonjakan harga seperti menghalang longgokan bijih besi dan menggesa peniaga untuk melupuskan sebahagian daripada inventori mereka.

 

"Dalam perkembangan berkaitan, China akan turut mengurangkan pengeluaran keluli mentahnya tahun ini," katanya. - DagangNews.com