Lanjutan kontrak Datasonic membekal kad kepada JPN dorong peningkatan pendapatan bagi FY23-25, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Lanjutan kontrak Datasonic membekal kad kepada JPN dorong peningkatan pendapatan bagi FY23-25, kata MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 17 Mac - Pemerolehan surat lanjutan (LOE) untuk kontrak pembekalan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meningkatkan pendapatan masa hadapan Datasonic Group Berhad (Dsonic), menurut MIDF Research.

 

Datasonic Group Berhad (Dsonic), melalui anak syarikatnya, Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) telah menerima dan meluluskan surat lanjutan (LOE) daripada KDN semalam.

 

LOE tersebut adalah berkaitan perubahan dalam kontrak untuk membekalkan MyKad, MyTentera, kad MyPOCA dan barang guna habis kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), seperti digariskan dalam surat anugerah (LOA) yang dihantar pada 10 Februari 2022.

 

LOA tersebut adalah untuk tempoh tiga bulan, bermula dari 15 Februari 2023 hingga 14 Mei 2023, dengan nilai kontrak tambahan RM12.5 juta.

 

Berikutan perkembangan baharu yang positif itu, firma penyelidikan itu menyemak semula anggaran pendapatan kumpulan untuk tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) akan meningkat 1.7 hingga 2.3%.

 

Harga sasaran (TP) disemak semula sebanyak 57 sen berdasarkan tambatan kepada pendapatan sesaham (EPS) baharu sebanyak 2.85 sen berbanding nisbah harga perolehan (PER) tidak berubah sebanyak 20x, purata PER lima tahun kumpulan itu, kata firma itu sambil menambah semakan semula itu adalah untuk mengambil kira kenaikan nilai kontrak asal daripada RM50.1 juta kepada RM62.6 juta.

 

“Secara keseluruhannya, kami percaya prospek kumpulan akan terus bertambah baik berikutan permintaan terpendam untuk dokumen perjalanan.

 

Selain itu, kekuatan kumpulan dalam teknologi sedia akan membolehkannya menjadi calon terbaik untuk mendapatkan kontrak MyKad generasi baharu yang akan dikeluarkan tidak lama lagi, serta lanjutan kontrak untuk penyelesaian berkaitan pasport, penyelesaian i-Kad dan kad ID digital negara,” ulas firma tersebut.

 

Oleh itu, MIDF mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) disemak semula pada 57 sen. -DagangNews.com