Malaysia pertimbang laksana sekatan perdagangan dalam usaha menentang anti minyak sawit EU - Fadillah Yusof | DagangNews Skip to main content

Malaysia pertimbang laksana sekatan perdagangan dalam usaha menentang anti minyak sawit EU - Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR 8 Feb - Malaysia sedang mempertimbangkan pelbagai sekatan perdagangan untuk menentang apa yang dipanggil dasar tidak adil dari Kesatuan Eropah (EU) yang menyekat akses pasaran bagi minyak sawit mentah, demikian menurut laporan Bloomberg.

 

Dalam temu bual agensi media antarabangsa itu bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, beliau dipetik berkata, Malaysia akan menyelaraskan tindak balasnya dengan Indonesia, pembekal minyak makan terbesar di dunia.

 

"Strategi yang dipertimbangkan termasuk memperlahankan perdagangan komoditi dengan Eropah dan mengkaji semula import dari blok itu," katanya.

 

EU bersetuju dengan undang-undang bersejarah itu pada Disember yang akan menghentikan produk yang menyebabkan kemusnahan hutan daripada dijual di kedai dan pasar raya di Eropah. 

 

Produk seperti kayu, getah, daging lembu, kulit, koko, kopi, minyak sawit dan soya tidak akan melepasi pelabuhan melainkan terbukti bebas penebangan hutan. 

 

Dalam hal ini, Malaysia dan Indonesia mengetuai kritikan antarabangsa terhadap dasar tersebut.

 

"Jika mereka terlalu tegas dengan keputusan mereka, jika mereka tidak mahu mendengar kata-kata kita, saya rasa salah satu perkara yang boleh kita lihat bersama-sama Indonesia ialah bagaimana kita harus melihat Eropah,” tegas Fadillah.

 

 

Fadillah Yusof
Fadillah Yusof

 

 

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata demikian dalam satu wawancara pada Selasa, dan turut menegaskan jika Malaysia tidak dilayan secara adil, ia juga memerlukan tindakan balas sewajarnya.

 

Kedua-dua buah negara itu yang membentuk lebih 80% daripada bekalan minyak sawit dunia - mengatakan peraturan itu adalah diskriminasi.

 

Ia akan mengurangkan akses pasaran untuk berjuta-juta petani kecil di seluruh rantau, Amerika Latin dan Afrika yang tidak mempunyai cara untuk memenuhi keperluan kebolehkesanan yang lebih ketat.

 

Minyak sawit digunakan untuk membuat segala-galanya daripada coklat hingga gincu, sabun dan bahan pencuci.

 

 

gambar hiasan

 

 

Menurut Fadilllah, tindakan EU itu ada percubaan untuk menghapuskan pekebun kecil daripada sistem tersebut.

 

"Blok itu terus memperkenalkan keperluan baharu walaupun pematuhan daripada ladang yang lebih besar terhadap piawaian kemampanan antarabangsa, serta komitmen kerajaan Malaysia terhadap ekonomi yang lebih hijau dan mengehadkan kawasan ladang baharu," jelasnya lagi.

 

Beliau akan mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Indonesia, bermula esok bagi membincangkan strategi yang boleh dilaksanakan bersama negara tersebut. Kedua-dua negara dijangka mengadakan sidang media bersama menteri pada Khamis.

 

Mengenai kemungkinan langkah perdagangan, beliau tidak mahu memperincikan perkara yang boleh dilakukan oleh Malaysia dan Indonesia, tetapi berkata ia akan menjadi sebahagian daripada perbincangan berkenaan.

 

“Bersama-sama Indonesia, kami mahu menyedarkan EU bahawa tindakan mereka adalah keputusan berat sebelah, unilateral,” tegasnya. - DagangNews.com