Malaysia-Singapura lancar jalinan pembayaran kod QR rentas sempadan | DagangNews Skip to main content

Malaysia-Singapura lancar jalinan pembayaran kod QR rentas sempadan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 31 Mac - Bank Negara Malaysia (BNM) dan Monetary Authority of Singapore (MAS) melancarkan jalinan pembayaran kod QR rentas sempadan antara Malaysia dengan Singapura untuk membolehkan pelanggan institusi kewangan membuat pembayaran runcit  dengan mengimbas kod QR DuitNow dan NETS2.

 

Menurut BNM, jalinan ini akan menyokong pembayaran secara bersemuka oleh pengguna melalui pengimbasan kod QR fizikal yang dipaparkan oleh peniaga serta transaksi e-dagang rentas sempadan secara dalam talian.

 

Institusi kewangan Malaysia yang mengambil bahagian ialah AmBank Malaysia Berhad, Boost, CIMB Bank Berhad, Hong Leong Bank Berhad, Malayan Banking Berhad (Maybank), Public Bank Berhad, Razer Merchant Services Sdn. Bhd., TNG Digital Sdn. Bhd. dan United Overseas Bank Malaysia Berhad.

 

Manakala, institusi kewangan Singapura yang mengambil bahagian ialah DBS Bank, OCBC Bank dan UOB, setakat 31 Mac 2023.

 

 

Institusi kewangan Malaysia dan Singapura yang terlibat
Institusi kewangan Malaysia dan Singapura yang mengambil bahagian

 

 

“Inisiatif ini menunjukkan komitmen kedua-dua negara untuk menurunkan kos serta meningkatkan kelajuan, akses dan ketelusan pembayaran rentas sempadan, sejajar dengan ASEAN Payment Connectivity Initiative dan G20 Roadmap for Enhancing Cross-border Payments,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Jalinan pembayaran kod QR rentas sempadan ini direalisasikan melalui  kerjasama pelbagai peserta industri dari kedua-dua negara, termasuk Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet), Network for Electronic Transfers (Singapore) Pte. Ltd (NETS), The Association of Banks in Singapore dan institusi kewangan yang mengambil bahagian dari kedua-dua negara.

 

Bagi fasa seterusnya, BNM dan MAS merancang untuk mengembangkan jalinan pembayaran ini dengan perkhidmatan pemindahan dana individu-ke-individu (person-to-person, P2P) yang dijangka tersedia pada akhir tahun ini.

 

“Hal ini membolehkan pengguna membuat pemindahan dana dalam masa nyata antara Malaysia dengan Singapura hanya menerusi nombor telefon mudah alih penerima melalui DuitNow dan PayNow,” katanya.

 

Mengulas lanjut, Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata pencapaian tersebut penting dalam merealisasikan visi rangkaian sistem pembayaran runcit ASEAN yang pantas, cekap dan saling berhubung kait.

 

 

Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus
Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus

 

 

Menurut beliau, jalinan pembayaran QR antara Malaysia dengan Singapura akan memberikan manfaat kepada berjuta-juta pengguna yang berulang-alik menggunakan Tambak Johor (Causeway) serta pelawat yang mempunyai urusan perniagaan dan percutian.

 

"Jalinan ini juga akan merangsang perniagaan runcit di kedua-dua negara. Kami akan terus bekerjasama rapat dengan rakan usaha sama kami untuk mempercepat agenda pendigitalan ke arah penyepaduan ekonomi dan kewangan serantau yang lebih mantap," tambahnya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Monetary Authority of Singapore, Ravi Menon berkata QR DuitNow-NETS merupakan tambahan terkini kepada rangkaian pembayaran rentas sempadan Singapura yang semakin berkembang.

 

“Jalinan ini akan membantu merangsang perdagangan rentas sempadan dan membolehkan peniaga, terutamanya perniagaan kecil, untuk memanfaatkan kumpulan pengguna yang lebih luas,” ujar beliau. -DagangNews.com