Laporan Kaspersky: Malaysia tangga ke-10 dunia sasaran emel berniat jahat | DagangNews Skip to main content

Laporan Kaspersky: Malaysia tangga ke-10 dunia sasaran emel berniat jahat

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 17 Mac - Malaysia berada pada kedudukan ke-10 dalam kalangan 20 negara teratas sasaran emel hasad atau berniat jahat pada 2022, menurut data Kaspersky.

 

Syarikat keselamatan siber dan privasi digital global itu memaklumkan, Laporan Spam dan Pancing Data Kaspersky 2022 menunjukkan Malaysia mencatat 2.98% daripada kesemua lampiran emel hasad di peringkat global, meningkat daripada 2.62% pada tahun sebelumnya.

 

Dari segi perbandingan dalam kalangan negara serantau, Vietnam pada kedudukan keenam dengan 4.43% daripada hantaran mel hasad yang dikesan, manakala Indonesia di tempat ke-15 dengan 1.85% daripada bahagian pada 2022.

 

Menurut Kaspersky, sejumlah 48.63% daripada emel di serata dunia adalah 'spam' dengan perisian antivirus menyekat 166 juta lampiran emel berniat jahat, manakala 507 juta cubaan memancing data dapat digagalkan.

 

Terma 'spam' bermaksud membanjiri rangkaian internet dengan pengulangan mesej yang sama dengan tujuan memaksa pengguna internet menerima mesej terbabit.

 

Selain itu, peningkatan sebanyak 18 juta lampiran emel berniat jahat telah direkodkan pada 2022 berbanding tahun sebelumnya dengan kejadian paling ketara dilaporkan pada Mac, Mei dan Jun.

 

"Hantaran emel berniat jahat yang diterima oleh rakyat Malaysia wujud dalam penyamaran sebagai urusan perniagaan dan bagi menarik perhatian penerima membuka lampiran.

 

 

kaspersky
                                                                Chris Connell

 

 

"Melalui cara ini, penjenayah siber akan cuba meyakinkan bahawa kandungannya adalah maklumat berkaitan perniagaan seperti tawaran komersial, invois atau salinan pemindahan bank.

 

"Dalam kebanyakan kes, dokumen yang dibuka itu akan turut memuat turun 'Trojan' atau virus," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kaspersky Asia Pasifik, Chris Connell berkata, jenayah 'scam' atau penipuan yang menjanjikan pampasan dan bayaran daripada agensi-agensi kerajaan, syarikat besar dan bank akan kekal popular dalam kalangan penjenayah siber pada 2023.

 

"Data daripada Kaspersky Secure Network (KSN) menunjukkan bahawa ancaman laman sesawang di Malaysia sejak lima tahun lalu berada dalam aliran menurun. Bagaimanapun, ini tidak bermakna kita perlu berasa selesa.

 

"Penjenayah siber sebaliknya menjadi lebih kreatif dalam memperdayakan mangsa. Oleh itu, perlindungan terhadap peranti adalah sesuatu yang perlu dilakukan," katanya.

 

Data KSN menunjukkan Malaysia mengalami ancaman web tertinggi pada 2021, iaitu sebanyak 61.3 juta yang turun kepada 37.1 juta pada tahun 2022.

 

Merujuk gesaan oleh Menteri Komunikasi dan Digital agar kerajaan negeri dan agensi kerajaan bertindak meningkatkan keselamatan siber masing-masing, Connell menyifatkannya sebagai langkah baik dalam usaha menjadikan Malaysia lebih selamat.

 

"Bagi pihak kami, Kaspersky sentiasa bersedia untuk bekerjasama dan berusaha menerusi perkongsian ilmu dengan sektor awam dan swasta bagi melindungi lebih ramai rakyat Malaysia serta syarikat-syarikat di sini," katanya, lapor Bernama.

 

Kaspersky telah menyarankan supaya pengguna memasang penyelesaian keselamatan yang mantap untuk terus dilindungi daripada emel berniat jahat, termasuk memaklumkan pengguna mengenai laman web yang perlu dielak serta perlindungan daripada perisian hasad. - DagangNews.com