MARC optimis tetapi berhati-hati terhadap prospek ekonomi Malaysia bagi 2023 | DagangNews Skip to main content

MARC optimis tetapi berhati-hati terhadap prospek ekonomi Malaysia bagi 2023

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Jan - Pertumbuhan persekitaran dilihat lebih mencabar tahun ini di tengah-tengah jangkaan ketidaktentuan global, terutama konflik Rusia-Ukraine yang boleh menjadi semakin teruk dan menyebabkan gangguan rantaian bekalan global secara berterusan.

 

Pada masa sama, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangkakan lebih satu pertiga daripada ekonomi global akan menguncup pada 2022 atau 2023.

 

Namun begitu, MARC Ratings Bhd. kekal optimis meskipun masih berhati-hati terhadap prospek pertumbuhan bagi 2023 berikutan ekonomi Malaysia yang pelbagai dan daya tahan negara ketika berdepan kejutan.

 

Ia menjangkakan infrastruktur negara yang agak maju, sektor pembuatan dan perkhidmatan yang berdaya saing, serta sumber asli yang banyak akan terus menyokong pertumbuhan dan memastikan ekonomi berdaya tahan secara keseluruhan.

 

"Tetapi, kami mengunjurkan ekonomi tahun ini akan menyederhana kepada 4.2% berbanding jangkaan 8.2% bagi 2022, menghampiri paras terendah dalam julat unjuran kerajaan antara 4 hingga 5%.

 

"Selain jangkaan kelembapan faktor luaran secara meluas, yang akan menjejaskan pertumbuhan pembuatan berorientasikan eksport, penyederhanaan itu juga boleh dijelaskan oleh, antara lain, kesan asas dan kos sara hidup yang tinggi," katanya dalam laporan prospek ekonomi bagi 2023. 

 

Prospek pertumbuhan Malaysia kekal positif setelah merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih pantas selama lima suku berturut-turut sejak suku keempat 2021.

 

Dalam tempoh sembilan bulan pertama 2022, ekonomi negara berkembang 9.3% tahun ke tahun, 3.2 kali ganda berbanding tempoh sama 2021 pada 2.9%.

 

MARC berkata, walaupun dengan momentum pertumbuhan KDNK dijangka lemah pada suku akhir seperti pada tahun-tahun yang lalu, namun pertumbuhan penuh 2022 Sekitar 8.2% adalah mengagumkan, melepasi unjuran rasmi antara 6.5 hingga 7%.

 

Agensi itu menjangkakan momentum pertumbuhan penggunaan swasta menjadi perlahan kepada 5.1% pada 2023 berbanding 11.1% tahun lalu di sebalik peningkatan beransur-ansur dalam pasaran buruh dan seterusnya pendapatan boleh guna isi rumah nominal.

 

"Kos sara hidup yang tinggi amat membimbangkan, dan boleh difahami, memandangkan bukan sahaja impak langsung daripada isi rumah yang terdedah kepada kelaparan, tetapi juga pergantungan berterusan semasa kami terhadap pertumbuhan penggunaan swasta sebagai enjin pertumbuhan," jelasnya.

 

Ia juga berpendapat langkah Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mula menormalkan dasar monetari pada Mei 2022 tidak membantu.

 

"Meskipun ia mungkin kelegaan dalam kadar pemulihan ekonomi, akan ada tekanan dan kesan yang tidak dapat dielakkan kepada pengguna dan pertumbuhan pelaburan, sedangkan hakikatnya kenaikan empat kali berturut-turut kadari ini pada tahun lalu dilaksanakan secara beransur-ansur," katanya.

 

Menurutnya lagi, walaupun pertumbuhan ekonomi mungkin agak berdaya tahan, tetapi malangnya, peningkatan itu tidak didorong oleh pertumbuhan kualiti.
  

Tambahan pula, katanya, ekonomi Malaysia telah melalui nyahindustrialisasi pramatang sejak awal 2000 apabila dinamika pertumbuhan mula melemah selepas krisis kewangan Asia 1997.

 

"Ia sebenarnya mungkin salah satu sebab mengapa Malaysia terperangkap dalam jerat pendapatan sederhana," tambahnya. -DagangNews.com