MBSB, CelcomDigi jalin kerjasama perkukuhkan lagi pendigitalan | DagangNews Skip to main content

MBSB, CelcomDigi jalin kerjasama perkukuhkan lagi pendigitalan

(Dari kiri ke kanan) Datuk Nor Azam M. Taib dan Datuk Mohamad Idham Nawawi pada MoU Pendigitalan Perbankan dan Penyelesaian Infrastruktur Pintar antara MBSB Bank dan CelcomDigi.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Jan - MSBB Bank Berhad menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan CelcomDigi bagi memperkukuhkan lagi pendigitalan bank itu secara berterusan.

 

Sebagai rakan kongsi MBSB, CelcomDigi akan mendorong bank tersebut untuk memberi khidmat pelanggan yang lebih baik dan pada masa sama mempertingkatkan kecekapan operasinya.

 

Di bawah kerjasama ini, kedua-duanya akan meneroka peluang dan penyelesaian perbankan pintar hujung ke hujung merangkumi perkhidmatan menyuluruh untuk keselamatan siber, pembiayaan penyelesaian runcit pintar dan teknologi infrastruktur awan, antara lain.

 

Selain itu, kedua-dua syarikat berhasrat untuk bekerjasama mencari peluang komersial baharu dan aktiviti pasaran bersasar bersama yang akan bermanfaat untuk pelanggan dan pekerja mereka.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib berkata, kerjasama dengan CelcomDigi sudah pastinya satu kejayaan penting terutama dalam industri yang semakin berdaya saing berikutan kemajuan teknologi.

 

Katanya, kerjasama strategik dengan peneraju pasaran itu boleh mempercepat kemajuan MBSB dalam industri ini.

 

MBSBxCelcomDigi

 

"Dalam hal ini, MBSB merancang untuk mewujudkan perindustrian penyelesaian internet segala-galanya (IoT) sebagai sebahagian daripada pembiayaan perniagaan, memberi tumpuan kepada amalan teknologi hijau, automasi dan jaminan kualiti.

 

“Kami juga berhasrat untuk memanfaatkan teknologi awan bagi memajukan keupayaan digital kerana ini akan membantu untuk menambah tahap daya saing kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Mohamad Idham Nawawi menyambut baik kerjasama dengan MBSB sebagai rakan kongsi baharu.

 

“Kami percaya kami mempunyai kepakaran dan sumber yang akan membantu untuk memajukan keupayaan digital bank tersebut, di samping bank itu maju dalam memanfaatkan teknologi untuk produk, perkhidmatan dan pengalaman yang ditambah baik untuk pelanggan.

 

"Malah, kami berharap dapat membuka lebih banyak nilai daripada sinergi kami di samping mencipta inovasi bersama untuk mendukung agenda digital negara,” katanya. – DagangNews.com