Memperkasakan Suruhanjaya Kanak-Kanak berdasarkan konsep Malaysia Madani | DagangNews Skip to main content

Memperkasakan Suruhanjaya Kanak-Kanak berdasarkan konsep Malaysia Madani

Oleh Mohd Ab Malek Md Shah, Pensyarah Kanan/Koordinator Jabatan Undang–Undang UiTM Melaka

SECARA dasarnya, Suruhanjaya Kanak-kanak (Children’s Commission) berfungsi sebagai badan pemantau dan penasihat kerajaan yang bebas terhadap segala isu yang berkaitan isu dan hak berkaitan kanak-kanak.

 

Menerusi konteks ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan bahawa tidak timbul sebarang pertindihan bidang kuasa mahupun bidang tugas antara mana-mana jabatan atau institusi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

 

Selain itu, bidang tugas suruhanjaya tersebut juga turut merangkumi segala urusan menasihati kerajaan berkaitan tanggungjawab antarabangsa di bawah The Covention on the Rights of the Child (CRC) 1994 yang telah diratifikasi oleh Malaysia pada tanggal 2 Disember 1994 dan Bali Consensus on Partnerships with and for Children in the East and Pacific Region (2005) dan lain-lain perjanjian antarabangsa yang berkaitan.

 

Ini termasuklah juga menyediakan khidmat nasihat kepada kerajaan dalam menggubal undang-undang, arahan pentadbiran dan prosedur serta mengemukakan syor terhadap segala bentuk tindakan yang perlu diambil oleh pihak kerajaan.

 

Pada masa yang sama, suruhanjaya tersebut diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan proses inkuiri (inquiry) dan siasatan terhadap sebarang aduan sekiranya berlaku sebarang pelanggaran terhadap hak kanak-kanak.

 

Suruhanjaya Kanak-kanak juga hendaklah mengadakan promosi kesedaran dan pendidikan terhadap hak kanak-kanak kepada kerajaan dan dalam kalangan masyarakat awam.

 

Demi menzahirkan betapa seriusnya pihak kerajaan dalam melindungi dan membela hak dan kepentingan kanak-kanak supaya lebih terjamin menerusi penyelesaian jangka masa pendek, lantikan Pesuruhjaya Kanak-kanak sebagai salah seorang anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) telah dibuat secara serta-merta.


 

parafrasa

 

Tambahan pula, lantikan tersebut diberikan autonomi yang khusus di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

 

Merujuk kepada Pengerusi SUHAKAM, Profesor Datuk Dr. Rahmat Mohamad, kuasa autonomi tersebut turut merangkumi segala isu dan permasalahan berkaitan kanak-kanak.

 

Ini termasuklah pendidikan, perlindungan, pelarian, diskriminasi dan buruh; sejajar dengan lunas-lunas perundangan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

 

Sehubungan dengan itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, telah memperkenan pelantikan Dr. Farah Nini Dusuki, Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya sebagai Pesuruhjaya Kanak-Kanak untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 8 Mac lalu mengikut Seksyen 5 (2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597].


 

Dr. Farah Nini Dusuki


 

Pada masa yang sama, terdapat beberapa isu dan cabaran yang perlu difikirkan ialah penyelesaiannya bagi memastikan kelancaran berhubung penubuhan dan operasi Suruhanjaya Kanak-Kanak.

 

Antaranya termasuklah beberapa kekangan yang mungkin dihadapi; misalnya masalah implikasi kewangan/ mendapatkan dana pembiayaan operasi.

 

Dalam konteks ini, memang tidak dapat dinafikan bahawa Suruhanjaya Kanak-Kanak memerlukan sumber kewangan yang mencukupi untuk menjalankan operasinya.

 

Ini kerana Suruhanjaya Kanak-Kanak mungkin tidak dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan berkesan dan sistematik.

 

Selain itu, kita tidak boleh menafikan bahawa terdapat kekangan terhadap struktur organisasi/ tadbir urus. Ini bermaksud; sekiranya struktur organisasi Suruhanjaya Kanak-Kanak tidak kemas dan jelas, ini mungkin akan mendatangkan impak negatif dalam proses pelaksanaan tugas dan operasi.

 

Selain itu, jika Suruhanjaya Kanak-Kanak tidak mempunyai kuasa yang mencukupi atau tidak mempunyai akses kepada sumber maklumat yang mencukupi, ia mungkin tidak dapat menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dengan berkesan.

 

Pada masa yang sama, kurangnya kefahaman dan kesedaran dalam kalangan orang awam terhadap segala hak dan kepentingan kanak-kanak akan mungkin menyukarkan Suruhanjaya Kanak-Kanak untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing secara proaktif dan tuntas.  

 

Dalam pada itu, jika usaha kerajaan ini tidak atau kurang mendapat sambutan positif daripada orang awam, maka Suruhanjaya Kanak-Kanak mungkin tidak dapat menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dengan berkesan dalam membela hak dan kepentingan kanak-kanak di Malaysia.

 

Sesungguhnya, langkah kerajaan ini bertepatan dengan konsep dan falsafah Malaysia Madani dalam usaha ke arah membina peradaban yang seimbang dan mampan tanpa wujudnya sebarang unsur diskriminasi, kezaliman mahupun penindasan dalam kalangan masyarakat sivil.


 

parafrasa

 


Dalam konteks ini, gagasan Malaysia Madani berpaksikan kepada enam tonggak utamanya iaitu M (Kemampanan), A (kesejahteraan), D (Daya cipta), A (Hormat), N (Keyakinan) dan I (Ihsan).

 

Ini bagi memastikan agar wujudnya sebuah tadbir urus yang cekap tanpa ketirisan serta mampu untuk merealisasikan sebuah negara bangsa yang berjaya lagi dihormati.

 

Kesimpulannya, kita perlu akui secara tuntas bahawa kanak-kanak merupakan pelapis generasi masa kini. Oleh yang demikian, hak asasi yang telah diperuntukkan kepada setiap mereka adalah dijamin oleh lunas-lunas perundangan sejagat.

 

Lantaran itu, adalah menjadi tanggungjawab kolektif bagi kita untuk menghormati setiap hak tersebut dan seterusnya menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan sepenuh hati tanpa sebarang diskriminasi ataupun penindasan.

 

Ini dapat dipupuk menerusi nilai-nilai kesedaran di dalam diri setiap individu akan pentingnya memelihara dan melindungi setiap hak kanak-kanak tanpa sebarang kompromi; yang tentunya berkiblatkan fitrah penciptaan insan secara universal. – DagangNews.com